X

Kindly register in order to view this article
!

Perintah berkurung di perairan ESSZone dilanjutkan

Perintah berkurung di kawasan perairan ESSZone yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 1 November depan.
A
A

TAWAU - Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 1 November depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

"Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone.

"Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, arahan itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, dalam pada itu turut memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung berkenaan.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!