DOSH batal arahan henti kerja di Bukit Kukus

Kejadian di tapak pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus pada 19 Oktober lalu.
Kejadian di tapak pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus pada 19 Oktober lalu.
A
A
A
GEORGETOWN - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang membatalkan arahan pemberhentian kerja yang dikeluarkan kepada kontraktor jalan berkembar Jalan Paya Terubong, Bukit Kukus.

Perkara itu disahkan melalui satu kenyataan media oleh Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.

MBPP melalui kenyataan itu berkata, surat pembatalan dikeluarkan kepada Syarikat Yuta Maju Sdn Bhd pada 28 Januari lalu dan ketika ini, kontraktor menjalankan kerja mitigasi terhadap cerun bukit dan penilaian semula dijalankan untuk meningkatkan langkah keselamatan di tapak pembinaan.

"Selain itu, ‘method statement’ juga disediakan. Kontraktor melantik jurutera perunding tambahan untuk reka bentuk kerja-kerja sementara dan mengawasi kerja yang dijalankan di tapak.

"Pada masa ini kemajuan kerja adalah sebanyak 73.24 peratus dan ia di jangka akan disiapkan pada pertengahan tahun 2020," katanya.

Menurut MBPP lagi, pemeriksaan tapak dan pemantauan yang lebih ketat akan dijalankan perunding projek dan MBPP sendiri untuk memastikan keselamatan dan kerja dijalankan sesuai dengan spesifikasi yang ditetapkan.

Dalam kejadian 19 Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera dan kawasan berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi runtuhan rasuk yang berlaku dua minggu sebelum itu.

Sehubungan itu, DOSH telah mengeluarkan surat arahan pemberhentian kerja bagi seluruh aktiviti projek pada 24 Oktober 2018.

Artikel Berkaitan: