Polis Sabah tahan 1,869 individu sepanjang PKP

Hazani Ghazali
Hazani Ghazali
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 1,869 individu ditahan polis di seluruh Sabah selepas gagal mematuhi Prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan sebanyak 1,454 kompaun kepada orang ramai atas pelbagai kesalahan berhubung SOP PKP di negeri berkenaan.

"Sejak Mac lalu, seramai 1,869 tangkapan dibuat dan setakat ini pertuduhan kita buat adalah seramai 1,210 orang. Semalam, kita juga mengeluarkan kompaun kepada 47 individu dan jumlah keseluruhan kompaun adalah 1,454 telah dikeluarkan," katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, selaras dengan penguatkuasaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis turut menggerakkan sebanyak 248 kumpulan pematuhan SOP di seluruh Sabah.

"Kita di sini menggerakkan sebanyak 248 kumpulan SOP dengan kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jumlah tersebut terdiri daripada seramai 1,800 kekuatan dan kali ini kita tidak lagi berkompromi atau bertolak ansur untuk mengeluarkan kompaun dan membuat tangkapan terhadap individu yang ingkar pada SOP ditetapkan.

"Kita tidak akan biarkan perkara remeh seperti tidak memakai pelitup muka, tidak menyediakan cecair pembasmi kuman dan amalan 3C, iaitu mengelakkan kawasan sesak dan sempit serta bertutur pada jarak dekat kepada individu dan juga premis seperti di restoran," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kumpulan pematuhan SOP digerakkan dalam tempoh 24 jam untuk membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah.

"Peningkatan mendadak dan kewujudan pelbagai kluster Covid-19 sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, diharap masyarakat yang tiada keperluan untuk berada di luar, diminta duduk di rumah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan sekiranya didapati melanggar SOP, tindakan serta merta akan dikenakan," katanya.

Terdahulu, PKPB dikuatkuasakan di seluruh Sabah sejak Selasa lalu hingga 26 Oktober ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.