Lelaki dari Johor dikesan hina rakyat Sabah

Hazani Ghazali
Hazani Ghazali
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah sedang mengesan seorang lelaki dari Johor yang membuat kenyataan menghina kepada rakyat di negeri ini menerusi satu rakaman suara yang tular di aplikasi WhatsApp sejak dua hari lalu.

Dalam rakaman suara itu, lelaki terbabit membuat kenyataan bahawa rakyat Sabah yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan pulang ke Semenanjung dengan membawa wabak koronavirus (Covid-19).

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, walaupun tiada laporan polis dibuat, namun siasatan dijalankan kerana memecahkan belah perpaduan rakyat.

"Viral ini sejak dua hari lalu, satu Malaysia bukan viral di Sabah saja. Saya banyak terima panggilan daripada pihak tertentu yang tidak puas hati dengan perkataan yang keluar daripada rakaman suara itu agak kasar dan tidak menggambarkan rakyat Malaysia.

"Setakat ini, tiada laporan dibuat tetapi kita tetap jalankan siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hazani berkata, kenyataan individu itu tidak mewakili seluruh rakyat di Johor sebaliknya ia dikeluarkan oleh individu yang tidak matang.

"Saya yakin rakyat Sabah cukup matang dan tahu menilai baik buruk sesuatu perkara dalam membuat pendirian terutama isu yang boleh memecah belah perpaduan rakyat di negeri ini.

"Kenyataan individu ini bukan mewakili Johor, ini adalah pandangan daripada individu tidak matang dan pendek akalnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan kenyataan itu, Hazani berkata, individu terbabit akan dikesan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Individu yang melakukan kesalahan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain) yang boleh membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan," katanya.

Terdahulu, Hazani turut menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh menambahkan kegusaran masyarakat terutama ketika negara sedang memerangi wabak Covid-19 ini.

"PDRM ingin mengingatkan kepada seluruh masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau membuat ulasan di media sosial terutama membabitkan isu sensitif bagi memelihara keharmonian negara.

"Sifat keterbukaan yang diamalkan kerajaan tidak harus disalahgunakan dan diambil kesempatan," katanya.