Kerajaan arah henti guna aplikasi milik Israel serta-merta

Kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan Israel, Waze serta-merta. Foto hiasan
Kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan Israel, Waze serta-merta. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan Israel, Waze serta-merta.

Arahan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat rasmi bertarikh 20 Oktober 2026 kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan, ketua pengurusan badan berkanun Persekutuan serta pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

"Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan diarahkan memastikan arahan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta," katanya.

Ujar beliau, kesemua penjawat awam perlu memberi kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan berkenaan dipatuhi sepenuhnya di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

"Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri selaku agensi penyelaras bagi perkara berkenaan," tegas beliau.

Waze ialah aplikasi navigasi berasaskan GPS yang dibangunkan oleh syarikat teknologi dari Israel pada 2009.

Aplikasi itu menyediakan panduan perjalanan, maklumat kesesakan trafik serta anggaran masa tiba ke destinasi berdasarkan keadaan jalan raya.

Ia turut menggunakan pendekatan berasaskan komuniti apabila pengguna boleh berkongsi maklumat mengenai kemalangan, penutupan jalan dan halangan trafik bagi membantu pengguna lain merancang perjalanan.

Artikel Berkaitan:

Dari sudut keselamatan siber, penggunaan Waze melibatkan pemprosesan maklumat tertentu seperti lokasi GPS, laluan perjalanan dan maklumat peranti bagi membolehkan fungsi navigasi serta maklumat trafik disediakan.

Data lokasi dan corak perjalanan berpotensi mendedahkan pergerakan pengguna, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan privasi dan perlindungan maklumat, khususnya bagi individu yang mengendalikan urusan sensitif.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!