Pelajar Tingkatan Lima maut, motosikal dirempuh ketika buat pusingan U mengejut

Keadaan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja berusia 17 tahun di Papar pada Selasa.
Keadaan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja berusia 17 tahun di Papar pada Selasa.
A
A
A

PAPAR - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Beringgis-Kawang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, seorang remaja lain juga berusia 17 tahun turut cedera akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, kemalangan melibatkan dua remaja lelaki masing-masing menunggang motosikal jenis Demak Spark dan Honda Wave.

"Siasatan awal mendapati motosikal Honda Wave yang ditunggang oleh seorang remaja sedang dalam perjalanan menuju ke Beringgis.

"Sebaik tiba di lokasi, sebuah lagi motosikal jenis Demak Spark yang ditunggang oleh seorang pelajar berusia 17 tahun dipercayai keluar dari bahu jalan sebelum melakukan pusingan U secara mengejut dan menyebabkan berlaku perlanggaran antara kedua-dua motosikal berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Heryan berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal Demak Spark mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Sementara itu, penunggang motosikal Honda Wave mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Papar," ujarnya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan dan faktor yang menyumbang kepada kemalangan tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar," katanya.

Dalam pada itu, Heryan turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta memastikan keadaan jalan benar-benar selamat sebelum melakukan sebarang pusingan U.

"Ibu bapa dan penjaga juga disarankan agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak serta memberikan penekanan terhadap aspek keselamatan jalan raya bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!