Jururawat maut pacuan empat roda terjunam ke sungai

RANAU - Seorang jururawat maut selepas pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum merempuh penghadang jambatan dan terjunam kira-kira 30 meter ke dalam sungai di Kilometer 20 Jalan Ranau-Telupid di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.58 tengah hari itu, mangsa, Nancy Kitingon, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipandu mangsa dari arah Telupid.
"Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh penghadang di sebelah kiri jambatan lalu terjunam kira-kira 30 meter ke dalam sungai.
"Kenderaan mangsa dipercayai berada dalam keadaan terbalik sebelum penduduk kampung tampil memberikan bantuan.
"Mangsa yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Mursalin, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
