PKPB: MPM nilai keberkesanan cara kuarantin atlet Paralimpik

Megat Shahriman
Megat Shahriman
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia akan menilai pelaksanaan latihan dalam kuarantin untuk atlet Paralimpik sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Oktober di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, cara tertutup dan terkawal itu akan menjadi langkah pertama kepada badan itu untuk meningkatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan pada masa depan.

“Kita akan nilai SOP tersebut untuk enam bulan sehingga setahun dan jika didapati perkembangan atlet tidak meningkat, kita mungkin perlu mengubah SOP berkenaan,” kata Megat kepada sidang akhbar di sini hari ini.

Ini merupakan kali kedua MPM melaksanakan latihan secara dalam kuarantin untuk atlet paralimpik selepas latihan berpusat ‘Road to Tokyo’ 2020 dari 1 hingga 30 Jun.

Pelaksanaan latihan seperti itu kini digunakan di tiga venue iaitu, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan program latihan berpusat untuk atlet yang dilaksanakan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal sewaktu waktu PKPB. - Bernama

Artikel Berkaitan: