Hampir 450 sekolah di Bangkok ditutup akibat jerebu

Penduduk Bangkok menggunakan topeng mulut dan hidung akibat jerebu yang melanda bandaraya itu.
Penduduk Bangkok menggunakan topeng mulut dan hidung akibat jerebu yang melanda bandaraya itu.
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Jerebu toksik memaksa pihak berkuasa Bangkok mengeluarkan arahan yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk menutup hampir 450 buah sekolah hari ini, ketika pihak berkuasa bertungkus lumus mengatasi krisis pencemaran yang mencetuskan kebimbangan.

Ibu negara Thailand diselubungi jerebu sejak beberapa minggu lalu, memaksa penduduknya menggunakan topeng muka dan mencetuskan kritikan di media sosial berikutan kerajaan negara itu lambat bertindak.

Alasan yang diberikan berhubung isu berkenaan termasuk asap kenderaan daripada kesesakan lalu lintas, pembinaan tidak terkawal, pembakaran terbuka di ladang jagung, dan pencemaran daripada kilang yang menyebabkan asap terperangkap di bandaraya itu.

Pihak berkuasa bertindak menjalankan pembenihan awan, menyembur air ke ruang udara untuk memerangkap pencemaran mikro dan turut meminta penduduk untuk tidak membakar colok dan kertas pada sambutan Tahun Baharu Cina.

Langkah berkenaan mencetuskan cemuhan daripada penduduk Bangkok, manakala bekalan topeng muka turut kehabisan di kebanyakan kedai.

Namun hari ini, Pentadbiran Metropolitan Bangkok meningkatkan amaran, mengarahkan semua 437 buah sekolah awam di bandaraya itu ditutup bermula waktu rehat tengah hari sehingga Jumaat.

Ia turut menetapkan kawasan 1,500 kilometer persegi di bandaraya itu sebagai “kawasan kawalan”. - AFP

Artikel Berkaitan: