Kastam patahkan cubaan seludup enam kontena minuman keras

Antara kontena yang ditahan di Pelabuhan Klang, Rabu lalu.
Antara kontena yang ditahan di Pelabuhan Klang, Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras jenis bir bernilai RM616,000 dengan jumlah cukai sebanyak RM3 juta membabitkan enam buah kontena di Pelabuhan Klang, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) JDKM, Datuk Johari Alifiah berkata, kesemua kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 18 dan 21 September lalu.

Beliau berkata, semakan mendapati tiada pengiktirafan Borang Import dibuat oleh pengimport ke atas dagangan tersebut.

"Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill of Lading) dan Daftar Muatan Kapal menunjukkan dagangan dalam enam buah kontena tersebut telah diikrarkan sebagai mengandungi pelbagai jenis barangan seperti 'faucet', 'bidet', 'lock', 'shower head' dan perabot serta diimport dari sebuah negara di Asia Timur," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 102,144 liter bir pelbagai jenama di dalamnya dan diletakkan di bahagian belakang kontena manakala barangan lain seperti yang diikrarkan termasuk tisu tandas diletakkan di bahagian hadapan bagi mengelakkan daripada dikesan.

Katanya, siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah.

"Siasatan ke atas syarikat pengimport dan dalangnya sedang dilakukan.

"Sehingga kini syarikat perkapalan telah disoal siasat bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Artikel Berkaitan: