Lelaki direman bantu kes hina polis

Hantaran dibuat pengguna laman sosial yang didakwa memfitnah PDRM.
Hantaran dibuat pengguna laman sosial yang didakwa memfitnah PDRM.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui hantaran di Facebook ketika pasukan itu sedang melaksanakan Op Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, turut dirampas bersama lelaki berusia 44 tahun itu, satu unit telefon bimbit jenama Oppo F9 yang dipercayai digunakan untuk tujuan terbabit.

Menurutnya, hantaran yang dimuat naik dalam bahasa Mandarin di Facebook itu menunjukkan empat anggota polis trafik sedang bertugas dengan tulisan yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris 'Batu 2 To Metro Road'.

"Status berkenaan telah dikomen seorang lagi pengguna laman sosial yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris 'These white-footed ones are out of money, no money left, come out to find food'," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tindakan meninggalkan komen jelik terhadap PDRM didapati sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
Tindakan meninggalkan komen jelik terhadap PDRM didapati sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Shamsudin berkata, empat anggota trafik yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada kekuatan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda yang sedang bertugas di Jalan Hospital Pakar Metro, Taman Berangan.

Katanya, tindakan pemilik akaun Facebook terbabit dilihat dengan sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej pasukan PDRM.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsudin turut menasihatkan masyarakat mengambil sikap bertanggungjawab, beretika, dan berhemah menggunakan rangkaian komunikasi atau aplikasi media sosial.