X

Kindly register in order to view this article
!

MB Selangor dakwa pengumuman PKPB mengejutkan

A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri ini agak mengejutkan.

Beliau berkata, ia kerana berikutan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor bersama beberapa agensi terdahulu menunjukkan hanya daerah Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

Menurut Amirudin, beliau baru sahaja mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan Pengumuman PKPB di daerah Petaling.

"Perlu dinyatakan bahawa sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada MKN untuk dipertimbangkan.

"Kerajaan negeri Selangor berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 14 hingga 27 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang akhbar harian berkata, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan kadar segera agar dapat diberi pertimbangan semula berhubung pelaksanaan itu.

"Kerajaan negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan itu agar sama-sama kita berjaya mengawal penularan pandemik koronaviru (Covid-19).

"Kerajaan negeri Selangor juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!