Marang bebas hawar berdarah

Sebahagian ternakan peliharaan keluarga Muhammad Syukur yang turut dijangkiti wabak HS di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu sehingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Sebahagian ternakan peliharaan keluarga Muhammad Syukur yang turut dijangkiti wabak HS di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu sehingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Daerah Marang diisytiharkan bebas wabak heamoragic septicaemia (HS) atau hawar berdarah pada 27 September lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, setakat ini tiada kes kematian terbaharu melibatkan ternakan akibat penyakit tersebut dilaporkan selepas kematian terakhir dilaporkan berlaku di daerah tersebut pada 2 September lepas.

Menurutnya, sehingga kini dua daerah iaitu Marang dan Kuala Terengganu disahkan mendapat jangkitan hawar berdarah dengan kematian terakhir bagi daerah Kuala Terengganu ialah pada 28 September lalu.

“Operasi pemvaksinan bagi kes hawar berdarah di daerah Marang telah selesai pada 14 September,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wabak tersebut yang berlaku di Marang dan Kuala Terengganu telah menyebabkan kematian sebanyak 19 ekor lembu dan 80 ekor kerbau manakala jumlah ternakan divaksin melibatkan 1,652 ekor lembu dan 72 ekor kerbau daripada 16 penternak.

Mengulas lanjut katanya, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, sebanyak 26,545 ekor ternakan menerima suntikan vaksin bagi mencegah penyakit hawar berdarah serta penyakit kuku dan mulut (FMD) meliputi seluruh daerah di negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 15,509 ternakan mendapat suntikan vaksin FMD manakala sebanyak 11,036 ternakan mendapat suntikan hawar berdarah atau heamoragic septicaemia (HS).

"Kesemua proses pemvaksinan itu dilakukan bermula Januari hingga 28 September lalu melibatkan lapan daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes hawar berdarah di Terengganu mendapat perhatian setelah 36 ekor kerbau peliharaan keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ dikesan mati di Kampung Banggol Katong, di sini sejak 9 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Sebelum itu, kes pertama jangkitan wabak itu mula dilaporkan berlaku di Kampung Tuman Jerong, Marang melibatkan kematian mengejut 22 ekor kerbau dan 15 ekor lembu milik 13 penternak pada 9 Ogos lalu.

Susulan itu, JPV Terengganu telah menjalankan operasi memberi vaksin kepada haiwan ternakan di dua daerah itu secara berperingkat bagi mengekang penularan wabak berkenaan.