Kerajaan negeri diharap lebih agresif tarik pelabur: Mohd Ali

Mohd Ali (kanan) mengurniakan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril (kiri) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri Ayer Keroh hari ini.
Mohd Ali (kanan) mengurniakan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril (kiri) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berharap kerajaan negeri lebih agresif untuk menarik peluang pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, antara fokus yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri termasuklah dalam sektor perkhidmatan, industri pembuatan, komunikasi, pelancongan, pertanian, hartanah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

“Pada 2019, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka mencatatkan nilai ditambah sebanyak RM43.6 bilion dan merekodkan pertumbuhan perlahan pada kadar 2.8 peratus berbanding 3.9 peratus pada 2018.

“Dijangka KDNK pada 2020 akan turut menyusut selari dengan pertumbuhan KDNK negara akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka yang dianugerahkan kepada 190 penerima di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri berjaya melaksanakan kerja-kerja tambak laut yang telah mewujudkan kawasan tambahan seluas 6,070 hektar.

“Bagaimanapun, masih terdapat banyak tanah kosong untuk dibangunkan dan memerlukan kerjasama daripada pemilik tanah.

“Pelaburan yang bakal dibawa masuk akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap Seminar Melakaku Maju Jaya yang diadakan pada Ogos lepas dan melibatkan perbincangan pelbagai pihak, dapat didokumenkan sebagai hala tuju pembangunan Melaka untuk tempoh 15 tahun sehingga 2035.

“Saya juga meminta agar dokumen yang dihasilkan ini dapat diterima di peringkat Persekutuan hingga ia dapat diterjemahkan dalam bentuk keutamaan pihak kementerian dan kelulusan peruntukan di bawah projek Persekutuan untuk Melaka.

“Saya berpendapat hala tuju pembangunan Melaka ini perlu diterima oleh semua kerana ia mendukung aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan selari dengan dasar Persekutuan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya. - Bernama