Pusat beli-belah One Utama, Kelab Golf Tropicana ditutup

Pusat beli-belah One Utama ditutup selepas terdapat empat kes positif Covid-19 di premis tersebut.
Pusat beli-belah One Utama ditutup selepas terdapat empat kes positif Covid-19 di premis tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat membeli-belah One Utama, Bandar Utama dan Tropicana Golf Club & Country Resort, Tropicana Petaling Jaya ditutup berikutan terdapat penularan kes pandemik koronavirus (Covid-19) di kedua premis tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, penutupan bermula pada 11 Oktober (esok) bagi tujuan membuat saringan kesemua kontak rapat dan proses nyahkuman.

"Saya ingin memaklumkan mengenai penutupan satu kompleks membeli-belah dan sebuah kelab golf disebabkan berlakunya penularan kes Covid-19 di premis tersebut.

"Kompleks yang dimaksudkan ialah pusat membeli-belah One Utama, Bandar Utama di mana sehingga kini terdapat empat kes positif melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung, sementara kelab golf yang dimaksudkan adalah Tropicana Golf Club and Country Resort, Tropicana Petaling Jaya melibatkan lima orang pekerja," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi dua tempat berkenaan antara tarikh yang dinyatakan untuk tampil membuat saringan Covid-19.

"Bahagian Kosmetik dan Wangian, Aras G, Parkson Elite antara 30 September sehingga 7 Oktober 2020, kemudian Mac City, Aras Dua antara 25 sehingga 30 September.

"Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan melakukan saringan Covid-19 di One Utama pada tarikh 14 dan 15 Oktober depan bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang," katanya.

Johary berkata, keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes iaitu pengunjung premis pada tarikh seperti yang dinyatakan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang bergejala sebelum tarikh saringan diminta ke fasiliti kesihatan yang berdekatan dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya.