Keluarga Norwahidah serah pada polis

Abd Hamid menyiram air ke pusara anaknya selepas tamat bacaan talqin di Masjid An-Najah, Ayer Hitam. Turut kelihatan Zaiton (dua, kiri)
Abd Hamid menyiram air ke pusara anaknya selepas tamat bacaan talqin di Masjid An-Najah, Ayer Hitam. Turut kelihatan Zaiton (dua, kiri)
A
A
A

JERLUN - Keluarga Allahyarhamah Norwahidah Abd Hamid, 28 menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes kematiannya apabila diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Bapanya, Abd Hamid Yunus, 57 berkata, setakat ini beliau masih belum ditemui oleh pegawai penyiasat terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Saya enggan mengulas lanjut tentang perkara ini dan serah sepenuhnya kepada polis untuk menyelesaikannya.

"Namun saya bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah anak saya berjalan lancar dan telah selamat disemadikan," katanya yang ditemui media di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah, di sini, pagi tadi.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli kariah Masjid An-Najah kerana memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menguruskan pengebumian jenazah anaknya yang juga merupakan staf Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya.

Norwahidah yang merupakan anak sulung dari empat adik-beradik disemadikan di kampung nenek sebelah ibunya, Zaiton Ismail, 57 pada kira-kira jam 10 pagi selepas disembahyangkan di Majid An- Najah satu jam sebelumnya.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Kelahiran Kematian dan Anak Angkat JPN Kedah, Hartini Mohamad yang menyerahkan sijil kematian kepada bapa mangsa.

Sebelum ini, polis mengklasifikasikan kes kematian sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, sebagai kes bunuh.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasat mendapati ada unsur jenayah pada mangsa wanita selepas didapati ada kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.

Mangsa ditemui mati dalam kebakaran bersama Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35 dalam rumah teres setingkat itu pada Isnin.

Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Suami isteri maut dalam kebakaran

Suami isteri maut terbakar diklasifikasi sebagai kes bunuh