X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid, surau diminta buat solat hajat hindari Covid-19

Jabatan Mufti Pulau Pinang meminta semua masjid dan surau di negeri ini agar melakukan solat sunat hajat berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Mufti Pulau Pinang meminta semua masjid dan surau di negeri ini agar melakukan solat sunat hajat berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata solat hajat itu bertujuan memohon pemeliharaan dan perlindungan daripada Allah daripada jangkitan penyakit Covid-19.

"Saya telah minta Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) untuk maklumkan kepada masjid serta surau agar menunaikan solat sunat hajat supaya Allah melindungi kita semua daripada penyakit Covid-19.

"Selain itu, saya juga memohon semua ahli kariah yang hadir di masjid atau surau supaya membaca qunut nazilah dalam solat berjemaah untuk tujuan sama," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peningkatan kes Covid-19 di negara ini termasuk di Pulau Pinang dengan lapan kes setakat ini membabitkan kluster Penjara Reman di Penjara Reman Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Wan Salim menasihatkan semua pihak agar tidak keterlaluan dalam menilai orang sehingga mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19, dalam laman sosial.

"Kita sepatutnya menyelidik dengan teliti terlebih dahulu apa sebenarnya yang terjadi, bukan hanya berdasarkan kepada khabar angin yang tidak sahih. Elaklah menghukum seseorang secara yang tidak adil, bimbang akan terlibat dengan fitnah yang akan mendedahkan diri kita kepada dosa besar di sisi Allah," katanya.

- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!