MKN berjaya capai beberapa keputusan penting, kata Muhyiddin

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas MKN berkenaan COVID-19 yang diadakan secara sidang video tengah hari tadi. (Kenyataan Muhyiddin Yassin di Facebook)
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas MKN berkenaan COVID-19 yang diadakan secara sidang video tengah hari tadi. (Kenyataan Muhyiddin Yassin di Facebook)
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beberapa keputusan penting telah dicapai pihaknya berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai menerusi sidang video Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya pagi ini dan turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Melalui mesyuarat itu katanya, Amirudin bersetuju untuk memperincikan lagi dari segi lokaliti memandangkan Mukim Klang yang agak besar.

"Ini juga mengambil kira maklumat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bahawa hanya lokaliti tertentu yang terkesan dengan penularan koronavirus (Covid-19).

"Saya turut menekankan bahawa kegiatan ekonomi dan industri di kawasan itu termasuk aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang perlu dipastikan tidak terjejas.

"Pelaksanaan PKPB di kawasan itu juga mestilah tidak menjejaskan sektor ekonomi yang sedang pulih, lebih-lebih lagi pekerjaan dan pendapatan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambahnya, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga melaporkan pihak industri bersedia untuk terus beroperasi dengan melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan pandemik ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penularan kes Covid-19 di dalam kawasan penjara juga turut dibincangkan dengan lebih terperinci dan mesyuarat hari ini memutuskan untuk melaksanakan SOP yang lebih ketat termasuk mewajibkan ujian swab saringan Covid-19 ke atas semua banduan baharu di samping menempatkan mereka di tempat berasingan yang diwartakan sebagai ‘penjara sementara’ sehingga keputusan ujian diperoleh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya hasil ujian didapati positif Covid-19, banduan terbabit akan dihantar terus ke hospital, manakala mereka yang negatif akan tetap dikuarantin di 'penjara sementara' selama 14 hari sebelum dipindahkan ke penjara kekal.

"Sekiranya bergejala, mereka juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan walaupun diuji negatif.

"Bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan reman pula, mesyuarat memutuskan agar sebutan kes di mahkamah dijalankan secara dalam talian," katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata, mengenai situasi pandemik ini di Sabah terutama di kawasan pantai timur, kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik akan dipertingkatkan termasuk di hospital-hospital.

Menurutnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bersedia bagi memenuhi keperluan logistik Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri itu.

Katanya, beliau percaya petugas barisan hadapan termasuk agensi di bawah KKM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain akan menggunakan segala kepakaran dan pengalaman sebelum ini untuk bersama-sama melandaikan lengkungan Covid-19.

"Yang penting, kita semua mesti bersatu hati dalam menghadapi detik mencabar ini," katanya.