Aktiviti masjid, surau di mukim Klang, Kapar ditangguh: JAIS

Semua aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di mukim Klang dan Kapar ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Semua aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di mukim Klang dan Kapar ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di mukim Klang dan Kapar ditangguhkan mulai semalam sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan demikian diambil, berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah berkenaan termasuk pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

“Hanya tiga petugas masjid dan surau dibenarkan melakukan aktiviti solat fardu dan solat Jumaat sepanjang tempoh ini, di 48 buah masjid dan 223 surau yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, sebanyak 23 buah masjid dan 110 surau di mukim Kapar yang merupakan zon kuning, akan dibenarkan beroperasi semula jika tiada kes baharu dicatatkan dalam beberapa hari lagi.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengawasan dan Penilaian Prosedur Operasi Standard Masjid dan Surau Negeri Selangor, pada minggu hadapan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor bermula 9 Oktober ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Ismail Sabri dilapor sebagai berkata, pelaksanaan PKPB diambil bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut, serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.- Bernama

Artikel Berkaitan: