DIP tingkat kualiti pendidikan sekolah agama di Selangor

Mohd Shazihan (kiri) menerima replika cek RM1 juta daripada pihak Tabung Infak Jariah Umat Islam disaksikan Amirudin (tengah).
Mohd Shazihan (kiri) menerima replika cek RM1 juta daripada pihak Tabung Infak Jariah Umat Islam disaksikan Amirudin (tengah).
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melancarkan Dana Infak Pendidikan (DIP) Islam Selangor di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Selasa.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, pelancaran dana yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu sebagai satu usaha meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah- sekolah agama di negeri Selangor.

"Sebagai permulaan Tabung Infak Jariah Umat Islam (TIJARI) menyumbang sebanyak RM1 juta bagi menggerakkan aktiviti permulaan pendidikan di negeri Selangor," katanya.

Mohd Shahzihan berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIS 2023 yang disempurnakan Amirudin di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Seksyen 14 di sini pada Selasa.

Beliau menambah, antara tujuan dana berkenaan ditubuhkan adalah untuk menyediakan sejumlah peruntukan bagi pembangunan pendidikan, latihan dan pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum sekolah.

Menurutnya, warga pendidik juga boleh menyumbang dengan ikhlas melalui pemotongan gaji atau elaun setiap bulan sekurang-kurangnya RM1 dengan niat kerana ALLAH untuk amal jariah melalui borang khas yang disediakan.

"Semoga sejarah yang terpahat pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan kepada semua yang sedang berkhidmat atau yang telah bersara," katanya.

Sementara itu, mengenai Majlis Sambutan Hari Guru JAIS 2023, Mohd Shahzihan berharap ia dapat meningkatkan motivasi penerima anugerah dan memberi suntikan semangat kepada warga guru JAIS.

Amirudin (tengah) menyampaikan anugerah kepada guru cemerlang pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIS 2023.
Amirudin (tengah) menyampaikan anugerah kepada guru cemerlang pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIS 2023.

"Ini kerana sesungguhnya jasa dan pengorbanan kalian sangat dihargai oleh jabatan, di samping mengharapkan ganjaran yang lebih besar daripada ALLAH S.W.T yang disediakan di akhirat nanti.

"Saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini kerana telah mempamerkan prestasi kerja dan komitmen yang cemerlang sehingga layak untuk dicalonkan dan seterusnya dipilih untuk menerima anugerah masing-masing," katanya.

Beliau menambah, semoga komitmen cemerlang diberikan oleh guru-guru yang menerima anugerah menjadi contoh ikutan dan pengaruh positif ke arah kecemerlangan JAIS secara keseluruhan.

Sebanyak lima kategori anugerah diberikan kepada sekolah dan guru-guru yang cemerlang iaitu Anugerah Sekolah Islam Persendirian Cemerlang dan Anugerah Sekolah Agama Negeri Cemerlang.

Tiga lagi kategori ialah Anugerah Sekolah Agama Negeri Cemerlang, Anugerah Guru Murabbi Cemerlang, Anugerah Tokoh Guru dan Anugerah Khas Tokoh Guru dan Pendidikan Negeri Selangor.