Penjara Reman Pulau Pinang buka pusat rawatan khas

Petugas KKM keluar dari bangunan Penjara Reman Pulau Pinang selepas melakukan pemeriksaan ke atas banduan dan petugas penjara tadi.
Petugas KKM keluar dari bangunan Penjara Reman Pulau Pinang selepas melakukan pemeriksaan ke atas banduan dan petugas penjara tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Penjara Reman Pulau Pinang membuka pusat rawatan khas bagi merawat tahanan yang didapati positif wabak koronavirus (Covid-19) susulan kematian seorang banduan kelmarin.

Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, pembukaan pusat rawatan itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya jumlah yang dijangkiti meningkat.

Menurutnya, pusat rawatan khas itu sudah siap namun belum memperoleh jumlah sebenar banduan dan petugas penjara yang akan ditempatkan di situ.

"Pada waktu ini, dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pusat rawatan itu sudah siap. Selain pusat rawatan khas, kita turut menempatkan klinik yang lengkap dengan doktor serta petugas KKM.

"Dari segi persiapan, kita memang sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Selain itu, jumlah banduan atau petugas penjara yang dijangkiti Covid-19 masih terkawal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Banduan meninggal dunia kerana Covid-19

Mohamed Jusoh berkata, jumlah sebenar petugas dan banduan yang dijangkiti Covid-19 akan dimaklumkan oleh pihak KKM.

"Saya tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan perkara itu. Hanya KKM sahaja yang boleh (mengumumkan). Bagaimanapun, pada waktu ini enam orang yang dijangkiti sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Keadaan dalam Penjara Reman Pulau Pinang terkawal dan banduan juga tidak menunjukkan sebarang simptom serta tidak bergejala.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan masih diteruskan terhadap 2,300 banduan dengan keutamaan kepada mereka yang berpenyakit serta warga emas," katanya.

Petugas sanitasi keluar dari bangunan Penjara Reman Pulau Pinang selepas selesai menjalankan proses sanitasi di kawasan penjara.
Petugas sanitasi keluar dari bangunan Penjara Reman Pulau Pinang selepas selesai menjalankan proses sanitasi di kawasan penjara.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai data yang tepat mengenai jumlah banduan dan petugas yang menjalani ujian saringan setiap hari.

"Setiap hari akan ada banduan dan petugas penjara yang akan menjalani ujian saringan namun kita tidak ada data yang tepat. Bagaimanapun, petugas KKM sangat berdedikasi dan bertungkus-lumus bagi memastikan proses ujian saringan berjalan lancar setiap hari.

"Tiada pergerakan keluar dan masuk membabitkan banduan termasuk banduan yang baharu (dimasukkan) sebagai usaha membendung penularan wabak ini.

"Jabatan Penjara Malaysia juga telah mengambil ketetapan untuk menempatkan sementara banduan baru di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN)," katanya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya keperluan mendesak, pihaknya akan membenarkan banduan di penjara dibawa keluar namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tambahnya, selain rawatan petugas KKM juga menjalankan proses sanitasi di kawasan penjara bagi membendung penularan wabak tersebut.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Penjara Reman Pulau Pinang mendapati beberapa kumpulan dipercayai petugas KKM masuk ke bangunan tersebut untuk tujuan sanitasi dan pemeriksaan kesihatan.

Kumpulan tersebut tiba di bangunan penjara itu kira-kira jam 9 pagi tadi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Penjara Reman di daerah Timur Laut selepas saringan mendapati tujuh orang positif Covid-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.