X

Kindly register in order to view this article
!

AMK desak Muhammad Sanusi lepaskan jawatan

Aizuddin Ariffin
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mendesak Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melepaskan jawatan kerana membuat kenyataan keterlaluan berkaitan pandemik koronavirus (Covid-19) selain disifatkan tidak kompeten menguruskan pentadbiran negeri.

Timbalan Ketua AMK Kedah, Aizuddin Ariffin berkata, pihaknya menyelar kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa membuat kenyataan menyalahkan masyarakat yang seolah-olah menghukum pesakit Covid-19.

Aizuddin yang merupakan Ketua Penerangan AMK Malaysia berkata, tuduhan itu disifatkan melampau dan tidak bertanggungjawab kerana melabel masyarakat kononnya melihat pesakit positif Covid-19 dengan perspektif melakukan dosa.

“Sekiranya sikap sambil lewa diamalkan dalam pentadbiran, beliau wajar lepaskan jawatan. Kenyataan seumpama itu seolah-olah sengaja dibuat untuk mengalih isu atas kegagalan Muhammad Sanusi mentadbir negeri dalam mengatasi masalah menimpa rakyat Kedah khususnya aspek keselamatan dan ekonomi ketika berdepan musibah Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Aizuddin berkata, sepatutnya Muhammad Sanusi memperinci dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri bagi memutuskan rangkaian Covid-19 termasuk aspek ekonomi untuk mengurangkan keresahan rakyat.

“AMK turut kesal apabila Muhammad Sanusi membuat perbandingan Covid-19 dengan penyakit Denggi dan HIV. Dua perkara yang saya bangkitkan itu harus diberikan keutamaan, bukannya perbandingan tidak berasas,” katanya.

Menurutnya, senario seperti itu tidak membantu menyelesaikan masalah, sepatutnya Muhammad Sanusi fokus kepada isu dalam ruang lingkup pandemik Covid-19.

“Saya mengkritik cara pentadbiran kerajaan negeri bawah kepimpinan beliau. Rakyat Kedah antara paling terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Beberapa siri pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bertumpu di beberapa kawasan di negeri ini, malah kenaikan mendadak kes Covid-19 mengakibatkan rakyat Kedah terus dibelenggu keresahan,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak boleh disalahkan atas lonjakan kes di negeri itu kerana ia bukan sesuatu yang dijangkakan.

Antara kenyataan beliau yang tular sejak semalam, adalah membuat perbandingan Covid-19 dengan penyakit lain serta pesakit Covid-19 dilihat seperti orang yang melakukan dosa.

“Kluster Tembok, orang kata Kedah tak pandai buat kerjalah. Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai. Benda tu tak nampak. Kita bukan nak dosa apa. Dia pandemik dan ada orang mati lebih banyak denggi, malaria, H1N1, taun, TB (batuk kering), yang tidak ada ubat merawatnya. Lama-kelamaan kena terima Covid-19 ada sekitar kita dan kita menimbulkan stigma berlebihan.

“Pesakit Covid-19 kini dilihat seperti orang yang melakukan dosa walaupun mereka tidak melakukan apa-apa apabila dijangkiti. Pesakit HIV/AIDS juga diterima masyarakat walaupun kemungkinan dijangkiti disebabkan aktiviti tidak bermoral. Pandangan awam sekarang seolah-olah yang positif Covid-19 buat dosa dan patut dikecam,” kata Muhammad Sanusi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!