'Akmal Saleh memang wajar lepas jawatan Exco Melaka' - Perwakilan

KUALA LUMPUR - Segelintir perwakilan Pemuda UMNO berpandangan keputusan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka adalah wajar dan selari dengan peranan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO yang membawa suara akar umbi.
Perwakilan Pemuda Kubang Pasu, Megat Hazeq Megat Hashimi berkata, sudah tiba masanya Pemuda UMNO bertegas kerana sejak dari awal DAP didakwa banyak memainkan isu agama dan bangsa.
“Seperti yang ditegaskan Dr Muhamad Akmal, keputusan ini dibuat sebab pertahankan maruah dan prinsip parti.
“Jadi dengan ketiadaan jawatan dalam kerajaan Melaka ini, ia akan buka ruang dan peluang untuk Dr Muhamad Akmal mengangkat suara rakyat dengan lebih terbuka sebab beliau juga masih lagi wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Perwakilan Pemuda Taiping, Yuskairi Mohd Ismail juga menegaskan prinsip parti sewajarnya ditegakkan dan tidak sepatutnya dicabuli oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jadi saya memang setuju dengan keputusan Dr Muhamad Akmal ini kerana dalam berkawan, kita juga semestinya mahu kawan yang ikhlas dan jujur. Janganlah ada agenda lain dan hentam kita balik.
“UMNO juga memang tak kisah sama ada jadi sebahagian daripada kerajaan Melaka ataupun tidak sebelum ini tapi kerana menghormati Titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diwujudkan Kerajaan Perpaduan maka sebab itu UMNO sanggup bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan DAP,” ujarnya.
Sementara itu, Perwakilan Pemuda Cameron Highlands, Fadzlullah Umoruddin berpendapat, Dr Muhamad Akmal tidak wajar meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka kerana dikhuatiri memberi kesan kepada pengundi di Melaka terutama di Merlimau sendiri.
Bagaimanapun, katanya, peletakan jawatan tersebut belum tentu akan diterima Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Tapi saya faham peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal ini bukan sebab beliau tidak mahu laksanakan tanggungjawab tetapi untuk agenda yang lebih besar,” katanya.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.
Keputusannya meletakkan jawatan itu demi kepentingan parti disebabkan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bersama-sama dengan DAP.
Ringkasan AI
- Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka untuk mempertahankan maruah dan prinsip parti
- Peletakan jawatan ini dianggap membuka ruang kepada beliau untuk mengangkat suara rakyat dengan lebih terbuka
- Keputusan ini disokong oleh sebahagian perwakilan Pemuda UMNO yang menganggap tindakan tersebut wajar dan selari dengan peranan Ketua Pemuda UMNO
- Pemuda UMNO memandang serius isu agama dan bangsa yang didakwa dimainkan oleh DAP, menyokong pendirian tegas terhadap pertahankan prinsip parti
- Walau ada pandangan berbeza mengenai kesesuaian peletakan jawatannya, kebanyakan berpendapat ia demi kepentingan lebih besar dan menyuarakan aspirasi akar umbi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

