X

Kindly register in order to view this article
!

Pence selamat untuk sertai debat calon Naib Presiden AS

Pence (kanan) akan menyertai sesi debat bersama Harris di University of Utah di Salt Lake City pada jam 9 malam esok (waktu tempatan). - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan Naib Presiden, Mike Pence selamat untuk menyertai sesi debat calon Naib Presiden kerana beliau tidak mempunyai kontak rapat dengan sesiapa yang didiagnos positif koronavirus (Covid-19) termasuk Presiden Donald Trump.

Semalam, pejabat beliau turut berkongsi memorandum daripada Pengarah CDC, Robert Redfield terbabit yang menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas mendapat jaminan daripada doktor Rumah Putih, Jesse Schonau tentang kebarangkalian pasangan regu Trump itu terdedah kepada penyakit terbabit.

Berdasarkan beberapa ujian saringan Pence yang menunjukkan keputusan negatif, CDC menyimpulkan daripada sudut pandangan kesihatan awam bahawa keadaan beliau tidak berisiko.

Pence, 61, dijadualkan menghadapi pesaingnya daripada parti Demokrat, Senator Kamala Harris pada sesi debat yang akan berlangsung esok di University of Utah di Salt Lake City pada jam 9 malam (waktu tempatan).

Penghadang plexiglass akan turut memisahkan mereka yang akan berdiri pada jarak 3.6 meter antara satu sama lain ketika acara itu.

Terdahulu, Pence didakwa enggan penghadang plexiglass tersebut ditempatkan di bahagiannya.

Akhbar The Washington Post memetik kenyataan Ketua Turus beliau, Marc Short melaporkan pasukan mereka tidak melihat penghadang plexiglass itu sebagai keperluan perubatan hingga menyebabkan kedua-dua pendebat berdiri agak jauh berbanding jarak dua meter sebelum ini.

"Terpulang kepada Harris jika beliau mahu dikelilingi penghadang plexiglass dan membuatkannya lebih selesa," katanya.

Bagaimanapun, pasukan Pence akhirnya akur dengan langkah untuk menempatkan penghadang plexiglass tersebut yang dilihat sebagai tindakan berjaga-jaga.

Difahamkan, Pence kali terakhir dilihat bersama Trump pada sidang media berhubung ujian Covid-19 di Rose Garden pada Isnin lalu. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!