Kes jenayah Goldman Sachs berhubung 1MDB tamat secara rasmi

Dua bekas pegawai bank Goldman telah didakwa atas kesalahan jenayah berkaitan kes melibatkan 1MDB. Foto Reuters
Dua bekas pegawai bank Goldman telah didakwa atas kesalahan jenayah berkaitan kes melibatkan 1MDB. Foto Reuters
A
A
A

NEW YORK - Pendakwaan jenayah kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Goldman Sachs berkaitan peranan Wall Street terhadap dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara rasmi ditamatkan pada Isnin.

Ia selepas Goldman Sachs memenuhi kewajipannya dan membayar penalti sebanyak AS$2.9 bilion.

Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Margo Brodie menolak tuduhan konspirasi rasuah terhadap Goldman, selepas bank itu berjaya menyelesaikan perjanjian penangguhan pendakwaan tiga tahun yang tamat pada Oktober.

Bank itu sebelum ini membantu menjual AS$6.5 bilion bon untuk 1MDB, yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dengan bantuan Jho Low, untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

Pihak berkuasa AS dan Malaysia berkata, AS$4.5 bilion telah disalurkan, dengan sebahagian dilencongkan ke akaun bank luar pesisir dan 'syarikat cengkerang' (shell company) dikaitkan dengan Low, yang kini menjadi buruan.

Goldman berkata, pegawai 1MDB dan bekas pegawai kerajaan Malaysia telah menipu mereka tentang bagaimana hasil jualan bon akan digunakan.

Bank tersebut mengutip kira-kira AS$600 juta dalam yuran, dan unit Malaysia mereka mengaku bersalah atas tuduhan rasuah.

Dua bekas pegawai bank Goldman telah didakwa atas kesalahan jenayah dalam perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Tim Leissner, yang mengetuai perniagaan Goldman di Asia Tenggara, mengaku bersalah dan masih belum dijatuhkan hukuman.

Manakala bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, Roger Ng, disabitkan kesalahan di Brooklyn dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, namun dihantar ke Malaysia pada Oktober lalu untuk membantu siasatan di negara ini. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!