Pihak berkuasa Palestin minta AS campur tangan halang Israel serang Rafah

Kenderaan perisai Israel berkumpul di sepanjang pagar sempadan dengan selatan Semenanjung Gaza, pada Ahad. Foto EPA
Kenderaan perisai Israel berkumpul di sepanjang pagar sempadan dengan selatan Semenanjung Gaza, pada Ahad. Foto EPA
A
A
A

RAMALLAH - Pihak berkuasa Palestin (PA) pada Isnin melakukan libat urus dengan pihak tertentu secara intensif untuk menghalang rancangan Israel menyerang Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mengeluarkan arahan kepada warga Palestin di kawasan kejiranan timur Rafah supaya segera berpindah pada Isnin dan menggesa mereka bergerak ke pekan al-Mawasi di selatan Gaza.

Kira-kira 100,000 orang awam Palestin yang dianggarkan tinggal di kawasan ini akan berpindah, lapor Agensi Anadolu, memetik siaran Radio Tentera Israel.

"Kami meminta pentadbiran AS (Amerika Syarikat) untuk campur tangan bagi mengelakkan pembunuhan beramai-ramai yang akan mengakibatkan kesan serius,” kata PA dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa yang berpangkalan di Ramallah berkata ia menghubungi pihak serantau dan antarabangsa, terutamanya AS untuk menghalang penaklukan Rafah.

Rafah menempatkan lebih daripada 1.5 juta orang Palestin yang kehilangan tempat tinggal, yang berlindung daripada serangan Israel sejak 7 Oktober lepas.

Lebih daripada 34,700 warga Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, selain daripada mengakibatkan kemusnahan.

Hampir tujuh bulan serangan Israel, kebanyakan dari Gaza hanya tinggal runtuhan bangunan mengakibatkan 85 peratus populasinya kehilangan tempat tinggal. - Bernama/Anadolu

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!