Hutang lapuk KFA selesai 15 Oktober ini

Muhammad Sanusi Md Nor - Foto KFA
Muhammad Sanusi Md Nor - Foto KFA
A
A
A

ALOR SETAR - Semua hutang lapuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dijangka diselesaikan menjelang 15 Oktober ini.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan memastikan perkara itu selesai sebelum mengundurkan diri daripada persatuan bola sepak tersebut.

"Saya telah menghantar surat peletakkan jawatan sebagai Presiden KFA pada 25 September lalu berkuatkuasa 15 Oktober ini.

"Saya pilih 15 Oktober kerana saya letak sasaran akhir untuk selesaikan semua hutang lama KFA. Dulu saya sebut RM10.6 juta, sebenarnya bila dikorek balik hutang itu cecah RM14 juta.

"Saya mencari penaja dan rakan-rakan yang sudi bantu selesaikan hutang KFA dan saya sasarkan semuanya selesai pada 15 Oktober ini. Lepas itu boleh serah kepada orang yang lebih layak (jadi presiden)," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan segelintir pihak yang mendakwa keputusannya meletak jawatan sebagai Presiden KFA didorong oleh rasa merajuk berikutan dikecam berikutan isu logo serta nama pasukan yang akan digunakan Kedah pada musim depan.

"Saya OK tetapi bab bola ini kalau kita cari duit untuk bayar hutang, siapa pun tak kata apa-apa. Tetapi hanya sebab logo, orang jerit lebih daripada hari nak kiamat esok," katanya.

Tambahnya, semua pihak seharusnya lebih adil dalam hal tersebut dan beliau sendiri merasakan tidak layak menjadi presiden.

Artikel Berkaitan:

"Berilah pada sesiapa, malah kalau ada peminat layak jadi sila tampil di mana mereka boleh membeli kelab bola sepak (FC) tersebut," katanya.

Mengulas mengenai isu logo dan nama pasukan yang masih hangat diperkatakan, Muhammad Sanusi berkata, KFA kini sedang mempertimbangkan segala cadangan dan komen daripada peminat dengan beliau difahamkan akan ada pertandingan mencipta logo dibuat selepas ini.

"Logo dan nama yang didedahkan hari itu masih boleh ditukar. Kita bayar RM2,500 dan tukarlah nama apa pun, tak ada masalah.

"Kalau berhasrat hendak gunakan logo lama, FC perlu beli daripada KFA kerana logo tersebut telah didaftarkan di bawah hak cipta KFA," katanya.