Kerajaan tidak abai rawatan pesakit lain

Abdul Yunus (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Dr Noor Azmi (tiga dari kiri) pada perasmian Agihan Keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian 2020 di Bagan Serai hari ini.
Abdul Yunus (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Dr Noor Azmi (tiga dari kiri) pada perasmian Agihan Keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian 2020 di Bagan Serai hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan tidak mengabaikan rawatan kepada pesakit lain walaupun tumpuan diberikan kepada pesakit koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia terbukti apabila kerajaan menetapkan sebanyak 85 peratus katil di hospital di Malaysia untuk rawatan pesakit lain dan hanya 15 peratus katil yang disediakan kepada pesakit Covid-19.

Menurutnya, ia menunjukkan kerajaan amat prihatin dan tidak mengabaikan pesakit lain termasuk penyakit denggi, virus Japanese Encephalitis (JE) dan sebagainya.

“Kerajaan memberi rawatan kepada pesakit dengan baik.

"Jika ada kes yang banyak, mereka akan dihantar mendapatkan rawatan di hospital berdekatan termasuk hospital swasta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Agihan Keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian Tahun 2020 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Pada majlis itu, seramai 178 peserta menerima agihan sebanyak RM300 setiap seorang berjumlah RM53,400.

Sementara itu, Dr Noor Azmi yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, setakat ini kerajaan masih belum memutuskan berkaitan penutupan semua sekolah di Malaysia walaupun jumlah kes semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan pengesanan secara aktif akan dilakukan dan kontak rapat akan dikesan, selain pelaksanaan nyah kuman di tempat yang dikesan berlaku kes baharu.

“Sesetengah tempat jika ada kes positif Covid-19, ia akan ditutup selama dua hingga tiga hari, namun sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat dengan melakukan penjarakkan fizikal, pemeriksaan suhu badan dan tiada aktiviti luar.

“Jika mereka di asrama, pelajar memang tidak boleh balik ke rumah dan kekal di tempat itu kerana lebih selamat,” katanya.

Mengulas mengenai ujian swab di Sabah, Dr Noor Azmi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai keupayaan membuat 2,000 ujian dalam sehari dan terdapat juga sampel ujian yang dihantar ke Semenanjung untuk bantuan ujian oleh kakitangan di negeri lain, sekali gus dapat mengurangkan tempoh menunggu keputusan. - Bernama