Covid-19: Kontak rapat hadiri program Zulkifli dikesan

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri melakukan penilaian risiko bagi mengenalpasti kontak rapat yang perlu menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) berkait kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, individu terlibat sedang dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan untuk hadir bagi menjalani ujian saringan di klinik kesihatan berdekatan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan juga telah mengenalpasti program yang dihadiri oleh Zulkifli semasa berada di Kelantan pada 25 September lalu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengambil makum isu di laman sosial berkaitan Yang Berhormat Menteri Agama telah disahkan positif Covid-19.

“Perlu diingatkan, bukan semua individu yang hadir pada program melibatkan Zulkifli ketika beliau berada di Kelantan merupakan kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Izani turut meminta masyarakat supaya tidak panik dalam menangani isu tersebut dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kesihatan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19

Wartawan, jurukamera di Kelantan jalani ujian Covid-19

Katanya, masyarakat juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 Jabatan Kesihatan Negeri di talian 09-747 2089 yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5.00 petang untuk hari bekerja dan jam 8 pagi hingga 12.00 tengah hari pada cuti umum.

Dalam pada itu, Dr Zaini terus mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, seramai 11 pegamal media termasuk jurufoto di Kelantan yang membuat liputan program dihadiri Zulkifli turut menjalani ujian saringan Covid-19.

Keputusan saringan dijangka diperoleh esok.