X

Kindly register in order to view this article
!

UiTM arah kontak rapat menteri agama jalani saringan Covid-19

A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang yang merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu majlis di institusi itu semalam, supaya segera menjalani ujian saringan Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, langkah segera dan berjaga-jaga itu bertujuan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini dan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti. Namun, saya memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak berkaitan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azraai berkata, beliau dan semua staf yang terlibat dalam majlis itu juga telah menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula hari ini.

Menurutnya, setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar itu dan berdoa semoga semua pihak terlibat terus terpelihara daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, UiTM juga telah menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya majlis bersama menteri itu dan meminta semua individu terlibat supaya berhubung dengan bilik gerakan Covid-19 universiti bagi menjalani saringan.

Semalam, Zulkifli menghadiri satu majlis bersama pelajar UiTM di Kampus Shah Alam bagi menyampaikan bantuan misi Musa’adah Khas Siswa.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya hari ini mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 Sept hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

Kontak rapat bermaksud mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes yang disahkan positif Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!