Nak lari punya pasal, motosikal tersadai dalam sawah

Hasan Basri melihat sebahagian individu yang ditahan dan mempunyai lebih dua waran tangkap dalam Operasi Samseng Jalanan di IPD Melaka Tengah, Banda Hilir hari ini.
Hasan Basri melihat sebahagian individu yang ditahan dan mempunyai lebih dua waran tangkap dalam Operasi Samseng Jalanan di IPD Melaka Tengah, Banda Hilir hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sebanyak kira-kira 100 motosikal tersadai di sawah apabila sekumpulan pelumba haram cuba melarikan diri ketika Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) di Kandang di sini disekat pasukan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sekatan di jalan tikus berhampiran kawasan bersawah itu dilakukan dalam Operasi Samseng Jalanan pada jam 3 pagi tadi.

"Seramai 167 individu ditahan termasuk 75 pelajar dan 14 daripada mereka mempunyai lebih dua waran tangkap termasuk kesalahan lumba haram manakala tujuh akan direman di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

"Satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Banda Hilir di sini hari ini.

Menurutnya, laluan tikus itu dipercayai adalah lokasi baharu aktiviti tersebut dan digunakan pelumba haram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang pekerja kilang berusia 20-an dari Jasin dikenakan 18 saman atas pelbagai kesalahan termasuk motosikal tidak mempunyai hon.

"Ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak terutama ketika negara masih dilanda wabak koronavirus (Covid-19).

"Sebanyak 167 kompaun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikeluarkan dalam operasi yang bermula jam 11.30 malam tadi," katanya.

Artikel Berkaitan: