Kemelut FGV terus berpanjangan

A
A
A

SATU demi satu masalah melanda industri asas tani negara daripada kejatuhan harga getah dan kelapa sawit kepada cuaca buruk dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Pembabitan kita secara besar-besaran dalam penanaman getah dan kelapa sawit serta pembalakan turut mendedahkan kita kepada kempen gerakan pencinta alam antarabangsa.

Kemudian, apabila kita mula menggunakan buruh import secara meluas dalam sektor berkenaan, kita turut menjadi tumpuan kempen hak asasi manusia dan antipemerdagangan manusia.

Alasan pencabulan hak asasi manusia inilah yang menyebabkan pihak kastam dan Kawalan Sempadan Amerika Syarikat (AS) menyekat pengimportan minyak kelapa sawit keluaran FGV Holdings Berhad.

Menerusi tindakan yang berkuat kuasa pada Rabu lalu, jabatan itu mendakwa bahawa terdapat tanda-tanda FGV terlibat menggunakan buruh paksa termasuk kanak-kanak dan keganasan fizikal serta seks.

Ia adalah tuduhan yang sangat berat dan memalukan negara. Jika benar, kita sendiri wajib mengambil tindakan tegas terhadap FGV dan semua pihak yang terlibat.

Sehari selepas tindakan pihak berkuasa kastam AS itu, FGV mengeluarkan kenyataan media mengatakan ia akan membersihkan namanya.

Bersih atau tidak bersih belum tahu tetapi tindakan AS itu menjejas eksport bernilai kira-kira RM700.26 juta atau 5.3 peratus keseluruhan eksport FGV.

Artikel Berkaitan:

Tindakan AS tercetus berikutan aduan beberapa buah badan bukan kerajaan termasuk Forum Antarabangsa Hak Pekerja (ILRF), Jaringan Tindakan Hutan Hujan (RAN) dan SumOfUs sejak beberapa tahun lalu.

Kegagalan FGV mengelak daripada dikenakan tindakan keras itu patut juga kita selidik dan fahami kerana ia bukan perkara baharu, malah kerap dibangkitkan pada forum antarabangsa.

Malah, FGV sendiri mendakwa yang ia mula membincangkan hal itu sejak tahun 2015. Amaran terbaharu mengenai petisyen NGO tersebut dikeluarkan hanya lebih kurang setahun yang lalu.

Kesimpulannya, kita boleh mengutuk tindakan kastam AS itu sebagai keterlaluan tetapi kita tidak ada kuasa ke atasnya.

Bagaimanapun, kita ada kuasa dan pengaruh ke atas FGV sama ada secara langsung sebagai pemegang saham atau secara tidak langsung sebagai pembayar cukai.

Apa yang sedang berlaku itu boleh dilihat sebagai kegagalan tadbir urus akibat kelemahan pengurusan peringkat tinggi dan sikap kurang peduli Lembaga Pengarah FGV.

FGV bukanlah syarikat perladangan baharu walaupun ia tidaklah setua syarikat-syarikat peninggalan penjajah. Ia adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menswastakan sebahagian harta Felda melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) FGV pada tahun 2012.

Sejak awal lagi saya menulis memberi amaran mengenai bahaya menjual dan memajakkan harta Felda untuk melakukan IPO melalui FGV. Hal itu terbukti apabila Felda hilang kelestarian dan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan suntikan modal sebanyak RM6.3 bilion.

Prestasi perniagaan dan harga saham FGV malap sebaik sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia. Nilai sahamnya jatuh merudum daripada harga terbitan RM4.55 pada tahun 2012 kepada hanya RM1.03 pada Jumaat lalu. Keuntungan suku tahun kedua pada tahun ini hanya RM18 juta.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara