Muslihat pungutan suara di Algeria

Ramai rakyat Algeria kini terpaksa menghadapi krisis ekonomi yang menyaksikan kadar pengangguran meningkat di negara itu. - Foto AFP
Ramai rakyat Algeria kini terpaksa menghadapi krisis ekonomi yang menyaksikan kadar pengangguran meningkat di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

ALGIERS - Algeria kini bersedia menghadapi satu pungutan suara mengenai pindaan Perlembagaan negara yang dikatakan akan melahirkan sebuah republik baharu dan lebih saksama.

Bagaimanapun, pihak pembangkang pula menganggap ia sebagai satu muslihat yang dilakukan oleh rejim penindas di negara tersebut.

Dengan masa tidak sampai sebulan sebelum undian bermula 1 November ini, ramai rakyat Algeria kini terpaksa menghadapi krisis ekonomi yang menyaksikan kadar pengangguran meningkat.

Mereka kelihatan seperti tidak mengetahui maklumat lanjut tentang cadangan kerajaan itu.

Tambahan pula, pemimpin pembangkang berkata, inisiatif Presiden Abdelmadjid Tebboune gagal membawa perubahan politik yang bermakna di negara Afrika Utara itu.

"Ia adalah satu lagi rampasan kuasa yang menentang ketuanan popular," kata Djamal Bahloul daripada parti tertua negara itu yang membangkang, Pembela Angkatan Sosialis (FFS).

"Pihak berkuasa membuat (pindaan) perlembagaan melalui suruhanjaya teknikal atau pakar-pakar secara mendadak tanpa tidak mempedulikan rakyat," tambahnya.

Satu tindakan protes besar dikenali sebagai 'Hirak' bermula dari Februari 2019 dan pada April tahun lalu apabila para penunjuk perasaan berarak dalam jumlah ratusan ribu untuk memaksa pemimpin veteran, Abdelaziz Bouteflika meletakkan jawatan selepas berkuasa selama dua dekad.

Artikel Berkaitan:

Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan di Algeria berhimpun bagi menentang pemerintahan Abdelaziz Bouteflika yang kemudian terpaksa meletakkan jawatan. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan di Algeria berhimpun bagi menentang pemerintahan Abdelaziz Bouteflika yang kemudian terpaksa meletakkan jawatan. - Foto AFP

Presiden Tebboune pula memenangi pilihan raya Presiden pada Disember lalu tetapi penunjuk perasaan bertindak memulaukan undian tersebut dan menyindirnya sebagai satu bentuk penipuan, malah kurang 40 peratus orang yang keluar mengundi.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri di bawah pemerintahan Bouteflika dan dilihat oleh para penunjuk perasaan sebagai simbol rejim lama yang mahu mereka mansuhkan.

Tunjuk perasaan aman diteruskan sehingga penjarakan sosial membawa tamatnya pergerakan di jalanan pada awal tahun ini.

Dalam usaha untuk membawa mandatnya, Tebboune berjanji untuk mengkaji semula perlembagaan negara.

Sebelum ini, Bouteflika mengubah suai perlembagaan itu mengikut keperluan dirinya.

Namun, kini, Tebboune membenarkan rakyatnya untuk meluluskan atau menolak cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam satu pungutan suara.

Pada Januari lalu, Presiden itu telah melantik satu suruhanjaya pakar-pakar perlembagaan yang mengadakan rundingan dengan parti-parti politik dan para pemimpin masyarakat awam.

Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune didakwa gagal membawa perubahan politik yang bermakna di negara Afrika Utara itu. - Foto AFP
Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune didakwa gagal membawa perubahan politik yang bermakna di negara Afrika Utara itu. - Foto AFP

Suruhanjaya itu mengemukakan cadangannya pada bulan Mac lalu dan draf perubahan diluluskan tanpa perdebatan di Parlimen pada awal September lalu.

Kerajaan mendakwa ia menawarkan perubahan radikal mengikut cara kerajaan dengan memisahkan kuasa dan meningkatkan ketelusan.

Bagaimanapun, para pengkritik menyatakan Parlimen masih didominasi oleh dua buah parti yang berkuasa di bawah rejim lama.

Dua parti itu ialah Pembela Pembebasan Kebangsaan (FLN) iaitu parti dipimpin oleh Bouteflika dan parti Perhimpunan Kebangsaan Demokratik (RND).

Setiausaha Agung FLN, Abou El Fadhl Baadji menggembar-gemburkan perubahan perlembagaan itu sebagai 'lompatan kualitatif' yang melahirkan sebuah republik baharu yang mana keadilan, undang-undang dan pengagihan secara saksama kekayaan negara.

Setiausaha Agung RND, Tayeb Zitouni juga teruja dengan pungutan suara itu.

Namun, ramai penyokong pembangkang melihat pungutan suara itu sebagai cara sinikal untuk kerajaan membawa perubahan ketika masih memerintah Algeria.

"Penyemakan semula Perlembagaan itu adalah satu-satunya cara untuk mengawal sistem (negara)," kata pemimpin Parti Pekerja yang berhaluan kiri, Ramdane Taazibt.

Beliau juga mengeluh tentang penumpuan kuasa di tangan Presiden negara itu.

Jurucakap parti Perhimpunan Kebudayaan dan Demokrasi (RCD), Athmane Mazzouz berkata, perubahan itu hanya mengubah sedikit kehidupan manusia biasa.

"Setiap ketua negara yang muncul berkuasa cuba untuk menghasilkan Perlembagaannya sendiri bagi memberinya lebih banyak kuasa," kata Mazzouz.

"Kami meminta penduduk Algeria tidak keluar dan mengundi," tambahnya.

Namun, pihak pembangkang juga berpecah sesama mereka.

Beberapa parti pembangkang itu ialah Pergerakan Untuk Masyarakat Aman (MSP), sebuah parti Islam yang rapat dengan Ikhwanul Muslimin dan Pakatan Untuk Alternatif Demokratik, sebuah parti yang rapat dengan pergerakan Hirak.

Terdapat juga parti-parti lain yang mencadangkan undi secara terus untuk memilih perhimpunan kebangsaan.

Parti MSP yang mempunyai 32 daripada 462 kerusi di Parlimen telah mendesak anggota-anggotanya untuk mengambil bahagian dalam pungutan suara tersebut.

Bagaimanapun, ia menolak beberapa cadangan yang dikemukakan dalam pindaan perlembagaan itu.

Parti itu mengutuk elemen-elemen sekular dalam cadangan pindaan itu seperti peruntukan yang menyatakan masjid-masjid akan dilindungi daripada pengaruh politik atau ideologi kerana bimbang ia mampu menjejaskan pengaruh agama.

Ia juga menolak cadangan untuk memastikan golongan wanita dilindungi daripada semua bentuk keganasan di semua tempat dan dalam semua keadaan atas dasar ia mengancam lingkungan dunia peribadi keluarga.

Perubahan itu dijangka dikemukakan dalam satu pungutan suara sama ada ia diluluskan atau tidak pada 1 November ini iaitu ulang tahun bermulanya perang kemerdekaan menentang Perancis yang berlaku pada tahun 1954 hingga 1962. - AFP