Anak Mat Sabu rayu ketepi sabitan, hukuman kes dadah

Ahmad Saiful Islam (depan) hadir bagi mengemukakan rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman salah guna dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Saiful Islam (depan) hadir bagi mengemukakan rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman salah guna dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengemukakan rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan menyalahgunakan dadah di Mahkamah Tinggi di sini.

Ahmad Saiful Islam Mohamad, 32, melalui peguamnya, Muaz Zafar selaku perayu, memfailkan notis rayuan berkenaan pada Jun lalu.

Ketika ditemui di luar kamar mahkamah, Muaz berkata, pihaknya membuat rayuan terhadap keputusan hukuman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 24 Jun lalu.

“Rayuan itu telah difailkan pada bulan yang sama dan hari ini mahkamah menetapkan 13 November depan bagi pengurusan kes.

"Kita juga menunggu alasan penghakiman dan nota keterangan untuk kes berkenaan,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Maryam Jamielah Ab Manaff di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Turut hadir di mahkamah ialah Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi selaku responden dan Ahmad Saiful Islam selaku perayu.

Pada 24 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyalahgunakan dadah di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Januari tahun lalu.

Dia turut dikenakan dua tahun pengawasan polis serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkannya membayar jaminan RM9,000 selain menyerahkan pasport serta melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.