Najib saran kerajaan baharu Sabah fokus lima perkara

Najib Tun Razak (Tangkap layar Facebook Najib)
Najib Tun Razak (Tangkap layar Facebook Najib)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan baharu Sabah disaran untuk memberikan fokus kepada lima perkara selain membantu penduduk di daerah yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, yang pertama ialah kerajaan negeri itu disaran untuk menuntut cukai jualan petroleum daripada kerajaan Pusat.

"Awal bulan ini, Sarawak telah dibayar RM2.9 bilion oleh Petronas. Sabah juga patut dibayar secepat mungkin," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan negeri itu juga disaran mempercepatkan pembinaan 'Pan Borneo Highway' terutamanya jajaran-jajaran yang lebih dekat dengan bandar utama.

"Jika perhubungan infrastruktur siap, pembangunan akan menyusul. Kerajaan Sabah juga perlu memberi kelulusan yang laju bagi sektor swasta merealisasikan potensi kawasan-kawasan baharu yang telah dibuka oleh Pan Borneo Highway.

"Langkah ini mampu menjadi pemangkin bagi menjamin pertumbuhan ekonomi Sabah dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menyarankan agar kerajaan baharu Sabah membatalkan anugerah projek Empangan Papar yang telah diberi oleh kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) secara rundingan terus kepada Syarikat JV Semenanjung Malaysia yang berkait terowong Pulau Pinang bersama sebuah syarikat baharu amat kecil di mana pemilik utamanya seorang anak muda berumur 26 tahun.

"Kerajaan Warisan dahulu telah berjanji menanggung kos penuh RM3 bilion ini. Ini akan memberi tekanan hebat kepada bajet tahunan Sabah yang cuma RM4 bilion setahun.

Artikel Berkaitan:

"Gantikan projek ini dengan projek kolam-kolam takungan hiliran (Off River Storage ORS) bersama penjana tenaga solar yang kos dan impak alam sekitar jauh lebih rendah," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan baharu Sabah juga disaran mengkaji semula empat projek penyelenggaraan jalan bernilai RM1.45 bilion diberi secara rundingan terus oleh kerajaan Warisan kepada empat buah syarikat dengan pendapatan sifar dengan modal berbayar dari RM750k hingga RM1.72 juta.

Menurutnya, ia termasuk diberi kepada sebuah syarikat baharu didaftar sembilan bulan serta sebuah lagi syarikat mempunyai pemilik majoriti serta pengarah sama dengan syarikat lain diguna untuk 'songlap' duit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dalam kes Menteri Warisan Peter Anthony.

"Keadaan jalan di Sabah sudah teruk. Kontrak-kontrak ini adalah untuk tempoh lima tahun. Ada kebimbangan bahawa keadaan jalan akan bertambah teruk jika syarikat-syarikat kroni tidak berkebolehan diberi projek.

"Siasat juga jika ada penyelewengan sebab saya difahamkan bahawa wang telah dibayar walaupun kerja belum bermula," katanya.

Perkara ke lima, katanya, segerakan kes Timbalan Ketua Menteri Warisan Plus Sabah Christina Liew yang telah diarahkan membayar ganti rugi RM557 juta kepada syarikat milik kerajaan Sabah dan 819 peladang kecil yang telah ditipu tanah mereka pada tahun 2005 dan 2006.

"Semasa Warisan mentadbir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan pengerusi syarikat terbabit.

"Ini bermakna plaintif adalah Ketua Menteri manakala timbalan dia pula adalah defendan. Kes ini dikatakan masih dalam proses mahkamah rayuan pada tahun 2018 setelah Warisan ambil alih kerajaan.

"Namun pada tahun 2020, perbicaraan kes dalam mahkamah rayuan masih belum bermula setelah berkali-kali ditangguh," katanya.

Beliau berpandangan penangguhan ini tidak adil kepada 819 peladang kecil yang telah kehilangan tanah setelah mahkamah tinggi mendapati Christina telah berpakat dengan kakitangannya untuk menipu mereka.

"Siasat juga jika ada salah guna kuasa kerajaan Warisan untuk melindungi Christina," katanya.