X

Kindly register in order to view this article
!

Iklan yang tidak patuh syariah

A
A

MASA saya kecil-kecil dahulu, mereka yang memakai purdah akan digelar hantu kumkum dan pelbagai lagi gelaran yang tidak enak didengar. Biasalah, suatu yang bukan jadi kebiasaan akan dilihat secara negatif apatah lagi bagi mereka yang anti terhadap purdah itu sendiri.

Namun, pada hari ini pemakaian purdah bukan lagi suatu yang dipandang pelik. Boleh dikatakan tidak terdengar lagi kata-kata ejekan begitu sebagaimana masa saya kecil dahulu.

Malah, sejak pemakaian pelitup muka dikuatkuasakan ekoran pandemik Covid-19, ada promosi dibuat agar wanita Muslim memakai purdah.

Baru-baru ini, semasa sedang melayari Facebook, tiba-tiba terlintas satu iklan yang mempromosikan set tudung berserta purdah. Sudah tentulah modelnya perempuan. Seperti mana-mana iklan sekalipun, model yang dipilih mestilah yang mempunyai rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik.

Apabila saya melihat iklan tersebut, ada sesuatu yang membuatkan saya rasa sangat tidak selesa. Bukan tentang tudung atau purdah berkenaan yang membuatkan saya tidak selesa tetapi gaya dan persembahan wanita yang berpurdah itu yang membuatkan saya rasa begitu.

Gaya dan pergerakan yang dibuat agak tidak selari dengan kedudukan tudung dan purdah dari kaca mata Islam. Oleh itu, timbul persoalan dalam hati saya, adakah iklan tersebut dikira patuh syariah?

Wanita merupakan makhluk ALLAH yang memang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Keistimewaan dan kelebihan yang ada pada wanita ini boleh membawa fitnah kepada kaum lelaki jika disalahgunakan.

Daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas tidaklah bermaksud untuk merendahkan kedudukan wanita. Tetapi hadis itu ingin menjelaskan bahawa wanita adalah fitnah yang paling bahaya kepada lelaki kerana rupa parasnya, suaranya, pergerakannya dan sebagainya boleh menarik perhatian dan syahwat kaum lelaki.

Islam sangat memuliakan wanita sebenarnya. Jika sebelum kedatangan Islam, wanita dianggap sebagai alat pemuas nafsu lelaki semata-mata. Begitulah hinanya kedudukan wanita pada zaman jahiliah.

Namun setelah kedatangan Islam, wanita diangkat kedudukannya dan dimuliakan. Kemuliaan wanita itu sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Berbalik kepada isu iklan yang saya sebutkan di atas, penggunaan wanita sebagai model mungkin tiada salahnya jika mengikut tatacara yang selari dengan ajaran Islam. Namun, apa yang ada pada wanita dan pergerakannya memang boleh membawa fitnah jika tidak mengikut ketetapan syarak.

Sebagai contoh, iklan yang memaparkan wanita yang menggayakan tudung dan purdah dengan gaya yang penuh menggiurkan atau disebut sebagai gaya gedik adalah suatu yang sangat perlu dielak.

Ini kerana pada pandangan saya, pergerakan yang begitu memikat itu sudah tentu boleh menimbulkan fitnah jika ia dilihat oleh kaum lelaki. Apatah lagi jika digayakan oleh wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik.

Akhir kalam, jika kita inginkan rezeki yang halal dan diberkati ALLAH, amat wajar sekali kita mempromosikan barangan kita dengan cara yang selari dengan syariah. Jangan pula barang jualan sahaja patuh syariah tetapi iklan yang berkaitan tidak selari dengan mesej sebenar yang hendak disampaikan. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!