400 mangsa rugi RM900 juta terjerat pelaburan 'patuh syariah'

Hishamuddin (kanan) bersama Musa memberi penjelasan kepada wakil SSM berhubung penipuan pelaburan pada Selasa.
Hishamuddin (kanan) bersama Musa memberi penjelasan kepada wakil SSM berhubung penipuan pelaburan pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 400 individu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM900 juta selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan saham yang kononnya patuh syariah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, melalui aduan diterima, kesemua individu itu didakwa terpedaya dengan dua sindiket yang dipercayai telah beroperasi sejak lima tahun lalu dan satu lagi sekitar 2021.

"Terdapat lima jenis pelaburan dilakukan termasuk saham khas, sukuk serta akaun wang amanah.

"Dua sindiket ini menjanjikan keuntungan antara 15 hingga 18 peratus, namun akhirnya lesap begitu sahaja," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menyerahkan 400 dokumen serta bukti daripada mangsa penipuan pelaburan.

Hadir sama Penasihat Strategik MHO yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Penasihat Undang-Undang MHO, Riza Khalid.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, selain dua sindiket pelaburan tersebut, terdapat hampir 220 buah syarikat mengeluarkan skim deposit wang yang kononnya pelaburan tersebut disahkan menerusi 'document information memo' (DIM) oleh SSM.

Menurutnya, terpedaya dengan helah tersebut, ramai pelabur meletakkan jumlah deposit yang besar melibatkan ratusan ribu ringgit.

Katanya lagi, kebanyakan mangsa adalah golongan yang sudah berpencen dan mempunyai sejumlah wang yang banyak.

"Ada pelabur yang mendepositkan wang berjumlah RM50,000 dan ada juga sehingga RM250,000 untuk pelaburan ini.

"Ia didorong dengan janji manis terhadap pulangan lumayan menerusi keuntungan dividen antara 15 hingga 18 peratus," ujarnya.

Hishamuddin berkata, MHO sebelum ini telah bertindak membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut, namun perkara itu diklasifikasikan sebagai rujuk kepada agensi lain (ROA) kerana tiada unsur jenayah.

Ekoran itu menurutnya, perkara itu dibawa pula kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC), namun ia sekali lagi menemui jalan kegagalan kerana skim itu bukan berada dalam Bursa Saham.

Kata beliau, pihaknya diminta membawa perkara tersebut kepada pihak SSM bagi tujuan siasatan selanjutnya.

"Oleh sebab itu, MHO bersama sebahagian mangsa telah hadir ke SSM pada hari ini bagi memohon siasatan tentang penipuan pelaburan ini," ujarnya.