KXP belum dibentang dalam Kabinet

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Hanya pembinaan lebuh raya diluluskan, sementara Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih belum mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan kerana tidak dibentangkan dalam Kabinet.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, buat masa ini, KXP berada dalam peringkat mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 27 Oktober ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri terdahulu mengumumkan mengenai KXP sejak tujuh tahun lepas, namun perkara terbabit sebenarnya tidak pernah dibawa masuk ke MPFN ataupun Kabinet.

"Jadi, Kementerian Kewangan tidak tahu, Menteri Pengangkutan tidak tahu memandangkan ia hanya berpusing sembang di luar, yang mana sekarang kita cuba bawa masuk ke Kabinet.

"Difahamkan, KXP hanya mendapat kelulusan pembinaan lebuh raya, sedangkan ia melibatkan pelbagai komponen lain," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kajian oleh 12 konsultan berkaitan KXP akan dibentang terlebih dahulu kepada MPFN sebelum dibawa ke Kabinet.

"Pada mesyuarat terakhir sebelum ini, MPFN terpaksa menangguhkan KXP kerana Kementerian Kewangan mahu ia dibawa dahulu kepada Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

"Jikalau dibawa ke NASP akan mengambil masa tiga tahun dan tergendala sekiranya kita tunggu, jadi kerajaan negeri tubuhkan 'task force' bersama Kementerian Pengangkutan dalam usaha mempercepatkan proses pembentangan kepada NASP bagi mendapat kelulusan interim," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya akan berusaha dan mengambil langkah demi membolehkan KXP dapat dilaksanana dalam apa jua caranya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kutipan cukai tanah tahun ini agak perlahan apabila mencatatkan pengurangan sebanyak RM93 juta disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

Muhammad Sanusi berkata, kutipan cukai tanah diperolehi untuk Januari hingga September lalu adalah sebanyak RM366 juta berbanding RM459 juta pada tempoh sama tahun lepas.

"Tiada lanjutan pembayaran cukai selepas September, jadi jikalau ada pemilik lewat membayar selepas hari ini akan dikenakan denda bayaran lambat," katanya.