Kes pengubahan wang haram Rosmah didengar selepas kes rasuah

Rosmah - Foto Bernama
Rosmah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM7,097,750 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor hanya akan dimulakan selepas perbicaraan kes rasuah melibatkan projek solar hibrid untuk sekolah pedalaman Sarawak selesai.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar kedua-dua kes tersebut menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk pengurusan kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan bahawa pendakwa raya dalam kes rasuah Rosmah dijangka melengkapkan perbicaraan kes itu selewat-lewatnya pada awal November ini.

Terdahulu, Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu mencadangkan agar pengurusan kes ditetapkan mengikut tarikh selesainya perbicaraan kes solar hibrid.

“Saya mencadangkan supaya kami jumpa semula Yang Arif pada Disember ini bagi membolehkan masa yang cukup untuk penghujahan dan keputusan (berkaitan perbicaraan solar hibrid),” katanya semasa pengurusan kes.

Rosmah, 69, dikecualikan daripada hadir ke perbicaraan semalam.

Perbicaraan kes rasuah terlebih dahulu telah ditetapkan untuk diteruskan Isnin hadapan dengan dua lagi saksi pendakwaan dijangka memberikan keterangan.

Ketika ditanya Hakim Mohamed Zaini sama ada pendakwaan boleh melengkapkan perbicaraan rasuah pada minggu depan, Poh memaklumkan yang mereka yakin boleh lakukannya atau selewatnya pada awal November, kerana mereka kini berada pada bahagian akhir kes tersebut.

“Baiklah, kita tetapkan 2 Disember untuk pengurusan kes,” kata hakim.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, mahkamah telah menangguhkan pendengaran kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN, yang pada awalnya telah ditetapkan bermula pada Mei bagi memberikan keutamaan kepada perbicaraan kes solar hibrid yang sedang berjalan.

Pada 4 Oktober lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan Jun 8 Jun 2017.

Beliau juga didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan bagi kesalahan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, untuk mengemukakan suatu penyata bagi tahun taksiran antara 2013 dan 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018, dengan tiada sebab yang munasabah bertentang dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967. - Bernama