Kes tembak ahli perniagaan: 19 individu ditahan

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 19 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes.

"Siasatan awal, kejadian berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, dua individu yang menaiki sebuah motosikal melepaskan sebanyak sembilan das tembakan ke arah mangsa yang menaiki kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

Kemudian, kereta yang dinaiki mangsa telah merempuh tiga pelajar hingga mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa yang kena tembakan itu dilaporkan stabil dengan keadaan separuh sedar dan dipasang alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Dalam kes berasingan, Huzir memaklumkan polis berjaya memberkas 10 individu termasuk seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan berhubung seorang pengatur cara teknologi maklumat (IT) yang cedera akibat ditembak di hadapan kediamannya di Bandar Kinrara, Serdang, 21 September lalu.

Huzir berkata, kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut mengesan dua lagi individu yang berusia 40 dan 48 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 35 tahun dilaporkan baru sampai di hadapan rumah dan keluar dari kereta sebelum dipercayai ditembak suspek yang menunggang sebuah motosikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki parah ditembak rempuh pelajar sekolah