X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu tunggal hilang ditemui selamat

Rosiah Mansor, 52, ditemui selamat pada jam 9.50 pagi tadi, setelah dilaporkan hilang Sabtu lalu.
A
A

JASIN - [DIKEMASKINI] Seorang ibu tunggal yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui dalam keadaan selamat di Perkampungan Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus di sini.

Mangsa, Rosiah Mansor, 52, ditemui pada jam 9.50 pagi tadi, kira-kira 2 kilometer dari lokasi rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebaik maklumat tentang penemuan wanita terbabit diperolehi sekumpulan pasukan mencari dan menyelamat terus ke lokasi dia ditemui.

"Seorang lelaki orang asli bernama Musa telah menemui mangsa dan kemudiannya memaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat.

"Sewaktu ditemui mangsa dalam keadaan lemah dan telah dirujuk ke Hospital Jasin untuk menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang ibu tunggal didapati hilang selepas kali terakhir dilihat oleh ahli keluarga berada di halaman rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus, di sini, kira-kira jam 7 pagi, Sabtu lalu.

Lebih membimbangkan apabila mangsa, dikatakan mengidap penyakit sawan dan pernah mengalami kemurungan.

Menurut kakaknya, Sariah Mansor, 60, kehilangan adiknya disedari oleh anak lelaki mangsa, Engku Airil Azuan Tengku Adzha, 32, sebaik menyedari pintu rumah dalam keadaan terbuka dan wanita terbabit tiada di rumah.

Ekoran itu, operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan membabitkan sepasukan 30 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM), Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sejak jam 8 pagi Ahad lalu.

Selain Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, turut terbabit Polis DiRaja Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus