X

Kindly register in order to view this article
!

PRN Sabah: SPRM terima 10 laporan berkaitan kes rasuah

Azam Baki -Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 10 laporan berkaitan rasuah sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula 12 September lepas sehingga hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, daripada jumlah itu pihaknya telah membuka satu kertas siasatan melibatkan dua individu yang disyaki menerima wang tunai untuk diagihkan kepada pengundi.

"Siasatan ini masih dijalankan dan kedua-dua individu berkenaan masih lagi ditahan reman dan kita juga masih menjalankan siasatan berkenaan aduan-aduan yang lain," katanya pada sidang media khas berhubung PRN Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Azam berkata, SPRM akan terus melaksanakan pemantauan dengan seramai 106 pegawai berada di lapangan, selain bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak polis.

"Kita mempunyai bilik gerakan SPRM di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Keningau yang beroperasi 24 jam dan ia juga boleh dihubungi di talian 0109436002," katanya.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, secara keseluruhannya situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah adalah terkawal.

"Penugasan polis telah dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu seramai 7,600 pegawai dan anggota diatur tugas untuk memastikan PRN Sabah berjalan dengan baik.

"Seramai 1,700 pula ditugaskan untuk menjalankan tugas hakiki polis dan 1,700 anggota lagi dikerahkan untuk mengawal keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah," jelasnya.

Beliau berkata, untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19), sebanyak 73 pasukan telah ditubuhkan yang terdiri daripada 1,276 anggota dan pegawai serta dibantu 570 orang dari pelbagai agensi lain. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!