PRN Sabah: Pakar kesihatan nasihat henti berkempen

Pakar kesihatan menasihatkan agar aktiviti berkempen dalam PRN Sabah perlu dihentikan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri itu. -Foto Bernama
Pakar kesihatan menasihatkan agar aktiviti berkempen dalam PRN Sabah perlu dihentikan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri itu. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pakar kesihatan menasihatkan agar aktiviti berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu dihentikan bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat, kempen perlu dilakukan secara maya tanpa melibatkan perhimpunan besar-besaran sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak dilaksanakan.

“Bercakap tentang isu politik, kita ada pelbagai terjemahan serta perspektif. Bagaimanapun, dari segi kesihatan awam, ia melibatkan konteks kebaikan yang menjurus kepada pemeliharaan tahap kesihatan yang berkualiti dan optimum untuk semua individu dalam masyarakat.

“Seseorang pemimpin perlu meletakkan kepentingan awam melebihi daripada sebarang kepentingan lain, maka wajar setiap mereka yang terlibat dalam pemilihan mempunyai wawasan jauh serta realistik yang memberi makna kepada kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, kebiasaannya emosi dan cara pemikiran menjurus kepada aspek politik semasa musim pilihan raya agak ketara sehingga menjejaskan tumpuan kepada perkara lain terutama dalam konteks pencegahan Covid-19.

“Pola peningkatan Covid-19 di Sabah sejak dua minggu lalu agak membimbangkan. Berikutan itu, kita memerlukan ketegasan pelaksanaan undang-undang untuk memantau serta mengenakan tindakan berpatutan dan adil kepada mereka yang didapati tidak mematuhinya.

“Kita juga berharap dengan kerjasama semua pihak, penularan Covid-19 dapat dikekang serta potensi kemunculan gelombang baru dapat dicegah sepenuhnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 147 kes baharu, tiga kematian

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pakar epidemiologi daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud pula berkata, ahli politik perlu sedar mengenai kewajipan mereka terhadap kebajikan serta kesihatan masyarakat.

“Malaysia bukan negara pertama yang mengadakan pilihan raya semasa pandemik Covid-19. Malah Singapura dan Korea Selatan turut mengadakan pilihan raya umum, namun tiada kluster yang wujud memandangkan ahli politik mereka sangat patuh pada SOP yang ditetapkan.

“Tempoh berkempen sudah sampai ke penghujungnya. Jadi, mereka perlu sedar tentang kewajipan kepada masyarakat untuk memastikan mereka tidak menjadi punca berlakunya peningkatan kes-kes di Sabah yang boleh merebak ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya.