GPS teguh di belakang Muhyiddin, kata Abang Johari

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

SERIAN - [DIKEMASKINI] Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan kesemua ahli Parlimen GPS teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiada yang 'melompat' menyertai kem Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Sarawak itu juga menyifatkan kelakuan Anwar sebagai 'pelik' dan menambah beliau tidak pernah berbincang dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membabitkan isu berkenaan kecuali ketika krisis yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“GPS menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri sendiri dan saya pada sambutan Hari Malaysia di Sibu,” katanya pada sidang media selepas sesi bertemu rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua di sini hari ini.

Kenyataan Abang Johari itu dipersetujui semua pemimpin parti komponen GPS yang hadir pada sidang akhbar tersebut.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata: “Saya juga tidak tahu kenapa Datuk Seri Anwar berbuat demikian. Anda sekalian (wakil media) tanyalah dia.”

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada perkara itu merupakan strategi Anwar untuk menarik ahli politik Sabah menyertainya selain mengelirukan pengundi Sabah menjelang pilihan raya negeri tersebut pada Sabtu ini, Abang Johari berkata: ”Anda buatlah analisis sendiri. Analisis saya ialah (Anwar) pelik.”

Beliau berkata, kerajaan Sarawak juga gembira dengan jumlah cukai jualan petroleum yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan negeri minggu lepas serta berpuas hati dengan kemajuan berkaitan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Malaysia harus mempunyai sebuah kerajaan yang stabil. Ekonomi kita dan kebajikan rakyat lebih penting,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi PH pada sidang akhbar di ibu negara tengah hari tadi mendakwa menerima sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, dakwaan Anwar tersebut hanya satu cubaan untuk mengelirukan rakyat Sabah supaya mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri Sabtu ini.

“Saya fikir ini tindakan yang tidak perlu bagi seseorang setaraf beliau. Kita jangan bermain dengan emosi rakyat dan saya sangat terkejut Anwar berbuat demikian,” katanya kepada media selepas sesi bertemu rakyat di sini hari ini.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata beliau tidak berhubung dengan Anwar, apatah lagi menerima ajakan Ketua Pembangkang itu agar PRS menyokongnya menjadi perdana menteri.

“Saya tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada beliau (Anwar) dan saya juga tidak mahu bercakap dengannya. Anwar tahu pendirian GPS, parti gabungan yang disertai PRS,” katanya. - Bernama