X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Anwar Ibrahim pada sidang media hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

"Jumlahnya (sokongan) kukuh dan meyakinkan, jauh daripada majoriti kecil. Bukan empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti.

"Sokongan itu juga terdiri daripada pelbagai parti,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Anwar juga memberi jaminan bahawa beliau mempunyai 'dokumen tetap yang tidak boleh diragui' bagi membuktikan beliau kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Ketika diasak wartawan untuk maklumat lanjut, Anwar berkata, butiran itu akan diberikan selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong yang ketika ini berada di Wad DiRaja Institut Jantung Negara (IJN).

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat. Insya-ALLAH," katanya.

Ketika diajukan mengenai latar belakang ahli Parlimen yang menyokongnya, Anwar sekadar mengulangi bahawa ahli-ahli Parlimen yang menyokong terdiri daripada wakil rakyat pelbagai parti termasuk UMNO.

“Ada ahli Parlimen daripada pelbagai parti dan saya fikir untuk saya umumkan ini biar mereka menyusul dengan pandangan mereka.

“Pentadbiran ini pasti mewakili semua rakyat. Majoriti Melayu bumiputera dan perwakilan daripada semua kaum di negara kita," katanya.

Katanya, beliau sebenarnya dijadual untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa lalu namun Seri Paduka Baginda sedang menjalani rawatan.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan baharunya itu akan tetap menjunjung prinsip Perlembagaan.

“Kita iktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di samping jaminan tegas dalam mempertahan hak rakyat pelbagai kaum.

“Akhir sekali, saya mohon semua rakyat bersabar dan mendoakan kesembuhan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!