Jabatan Taman Laut Johor nafi tular 7 pantai berisiko

WhatsApp yang tular berkaitan obor-obor merah di tujuh pantai dalam Johor.
WhatsApp yang tular berkaitan obor-obor merah di tujuh pantai dalam Johor.
A
A
A

MERSING - Jabatan Taman Laut Johor menafikan mesej tular terdapat tujuh pantai dalam Johor berisiko untuk orang ramai bermandi-manda pada musim cuti berikutan fenomena obor-obor merah.

Pengarahnya, Bahrinah Bahrim berkata, bagi pihak taman laut, perkara tersebut adalah yang sama pernah ditularkan pada tahun lalu.

“Ia berita palsu. Orang ramai boleh dapatkan maklumat tentang perkara itu di Facebook Taman Laut di mana ia tular tahun lepas,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular kembali di aplikasi WhatsApp pesanan kepada orang ramai di mana kepada sesiapa yang menjadikan hobi riadah seperti berkelah di tepi pantai pada hari cuti, di nasihatkan tidak bermandi-manda di pantai perairan berdekatan sehingga disahkan oleh pihak taman laut dan hospital.

Pesanan sama turut menyenaraikan kawasan yang telah di kenal pasti iaitu Pantai Bandar Mersing, Pantai Telok Buih, Pantai Air Papan, Pantai Tanjung Leman, Pantai Sedili, Pantai Desaru dan Pantai Tanjung Balau.

Menurut pesanan itu, pihak pengarah taman laut dan pengarah hospital telah membuat kajian berkenaan kawasan yang disebut itu telah pun dikenal pasti terdapat fenomena obor-obor merah berbisa yang boleh menyebabkan kematian jika terkena kepada mangsa yang berada di dalam air.

Oleh demikian, orang ramai diminta tidak mandi di kawasan yang di sebut sehingga pihak kami mengeluarkan notis kebenaran untuk orang ramai mandi di pantai.

Pesanan berkenaan turut mendakwa terdapat seorang mangsa perempuan telah menderita kesakitan daripada serangan obor-obor merah berbisa itu dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan sekarang di dalam keadaan separuh sedar.

Artikel Berkaitan:

Bahrinah berkata, orang ramai perlu lebih peka dalam menerima dan menyebarkan sebarang maklumat yang betul.

“Sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti rekreasi air dinasihatkan memastikan mematuhi peraturan dan etika serta sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.