Lima tahun perang, setiap 10 minit kanak-kanak maut

Presiden Pertubuhan kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) Syed Sheikh Alattas Syed Hassan (tengah) ketika diwawancara Sinar Harian hari ini. -Foto Sinar Harian/ YUSRIZAL YUSOF
Presiden Pertubuhan kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) Syed Sheikh Alattas Syed Hassan (tengah) ketika diwawancara Sinar Harian hari ini. -Foto Sinar Harian/ YUSRIZAL YUSOF
A
A
A
SHAH ALAM - Perang di Yaman yang memasuki tahun kelima menyaksikan keadaan yang paling dahsyat dan tragis ketika ini.

Sudah ribuan nyawa melayang, rakyatnya kurus kering kerana tidak mendapat makanan yang cukup, kediaman hancur malah dilaporkan setiap 10 minit kanak-kanak Yaman meninggal dunia berpunca daripada jangkitan penyakit kolera.

Ketua Keordinasi dan Hubungan Antarabangsa NGO Bonyan Development Foundation Abdul Karim Al-Matari. -Foto Sinar Harian/YUSRIZAL YUSOF
Ketua Keordinasi dan Hubungan Antarabangsa NGO Bonyan Development Foundation Abdul Karim Al-Matari. -Foto Sinar Harian/YUSRIZAL YUSOF

Menurut Ketua Koordinasi dan Hubungan Antarabangsa NGO Bonyan Development Foundation Abdul Karim Al-Matari, menjelaskan apa yang boleh beliau gambarkan di sana adalah Yaman 'bukan sebuah negara lagi dek kerana kehancuran dan kemusnahan yang terjadi berpunca daripada perang.

"Selama ini peperangan yang berlaku ini telah hampir memusnahkan Yaman, gerak perang ini berlaku secara menyeluruh , rakyat awam, kanak-kanak, orang tua, sekolah, hospital, masjid,lapangan terbang, dan kemudahan asas telah menjadi sasaran.

"Pada hakikatnya serangan ini dilakukan mengikut kepada telunjuk daripada Amerika-Israel, dan peperangan ini telah mengorbankan hampir 40,000 rakyatnya daripada pelbagai lapisan daripada kanak-kanak sehingga orang tua," katanya ketika mengunjungi Sinar Harian, di sini, hari ini.

Katanya lagi, peperangan yang berlaku ke atas Yaman ini bukan hanya bersifat serangan roket, bom dan sebagainya bahkan juga melibatkan sekatan ekonomi terhadap negara ini.

"Di mana perbatasan mereka dikawal, pelabuhan ada yang ditutup dan ada yang dihancurkan, lapangan terbang ada yang ditutup dan juga dihancurkan.

"Hanya yang tinggal sisa hasil bumi, selain daya sumber manusia yang masih bersemangat mempertahankan tanah air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya kini 22 juta rakyat Yaman sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang maha dahsyat iaitu melibatkan tiga aspek.

"Pertama mereka kurangnya bahan makanan, ubat-ubatan dan tempat tinggal.

"Dan 8 juta terancam dengan kebuluran, " katanya lagi.

Justeru katanya sebagai NGO yang sudah dua tahun menjadi tulang belakang kepada rakyat Yaman, Abdul Karim sangat berharap agar perang di negaranya berakhir.

"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia, di mana tindakan kerajaan yang menarik tentera di sana amat kami hargai.

"Kami juga sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia, terima kasih," katanya.

Presiden Pertubuhan kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) Syed Sheikh Alattas Syed Hassan.- Foto Sinar Harian/YUSRIZAL YUSOF
Presiden Pertubuhan kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) Syed Sheikh Alattas Syed Hassan.- Foto Sinar Harian/YUSRIZAL YUSOF

Sementara itu menurut Presiden Pertubuhan kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) Syed Sheikh Alattas Syed Hassan berkata, besar harapannya agar rakyat Malaysia terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Yaman agar mereka terus dapat meneruskan kehidupan.

Katanya, keperluan makanan, tempat berteduh, ubat-ubatan amat-amat diperlukan ketika ini.

"Mereka dalam keadaan yang amat memerlukan bantuan kita, supaya rakyat Malaysia turut membantu meringankan beban mereka," katanya.

Kepada mereka yang berniat untuk menyalurkan bantuan anda boleh hulurkan sumbangan menerusi no akuan NGO Sejagat MAYBANK 564810009147.