Kanak-kanak maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya.
Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11, Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.35 pagi tadi.

"Menurut ibunya, sebelum kejadian, dia berada di bahagian dapur manakala dua anaknya sedang bermain di ruang tamu.

"Namun selepas itu, dia terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu itu, tetapi gagal kerana pintu telah terkunci,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Wan Azlan berkata, ibu mangsa kemudian mendengar suara anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik bersebelahan dan apabila melihat dari luar tingkap mendapati anaknya itu telah terjatuh ke bawah.

Menurutnya, petugas kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Wan Azlan berkata, mangsa adalah anak pertama daripada dua adik beradik dan ibu bapanya merupakan anggota polis yang tinggal di kediaman tersebut. - Bernama.