X

Kindly register in order to view this article
!

Safiey Illias didenda jual, miliki barangan kesihatan tidak berdaftar

Safiey Illias - Foto sumber internet
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan kosmetik sensasi, Safiey Ilias didenda RM23,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual dan memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Mei tahun lalu.

Safiey Alias atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM18,000 bagi pertuduhan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Safiey didakwa telah menjual barangan yang bukan keluaran berdaftar iaitu Aurora SX Premium 30 sebanyak tiga kotak kepada seorang individu dan memiliki sebanyak 112 kotak yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Safiey didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di premis miliknya, DSI Empire Sdn Bhd, Jalan Kolam Air Panas, Desa Melawati di sini pada jam 11 pagi, 8 Mei 2019.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Safiey didakwa mengikut kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000.

Terdahulu, Safiey yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan memandangkan perniagaannya sudah tidak berjalan sejak setahun yang lalu selain turut memaklumkan mempunyai masalah kesihatan.

“Saya mohon maaf kepada mahkamah kerana tidak dapat hadir untuk sebutan kes sebelum ini, saya ada masalah kesihatan,” katanya.

Majistret Mohamad Aizat kemudian menasihati Safiey supaya lebih peka dengan produk kesihatan dan kosmetik yang dijual termasuk keperluan pendaftaran dengan KKM.

“Saya berharap kesalahan ini tidak berulang lagi pada masa akan datang, kamu usahawan kosmetik seharusnya peka terhadap segala jenis ubat-ubatan atau kosmetik yang akan diguna pakai oleh masyarakat umum.

“Tujuan pendaftaran ini (produk kesihatan) adalah untuk menjaga keselamatan pengguna, sebagai contoh kalau ada suplemen atau produk kesihatan dimakan dan memberi bahaya, kamu akan dipertanggungjawabkan,” katanya ketika prosiding di mahkamah hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ahmad Zuhri Md Ali dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!