X

Kindly register in order to view this article
!

Media sosial senjata ampuh PRN Sabah

A
A

KERANCAKAN kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masa kini menyaksikan pelbagai strategi media komunikasi dioptimumkan. Walaupun Covid-19 masih belum reda, namun pendekatan kempen normal baharu dapat diatasi dengan pengunaan media sosial.

Pengamatan penulis mendapati hampir keseluruhan calon dan parti politik yang bertanding di PRN Sabah menjadikan media sosial sebagai senjata bagi meraih pengundi.

Kajian media komunikasi menunjukkan bahawa 82 peratus pengundi mendapatkan maklumat politik semasa pilihan raya melalui media sosial, televisyen (74 peratus), akhbar (70 peratus), ceramah (65 peratus), lawatan dari rumah ke rumah (63 peratus) dan radio (60 peratus).

Kajian pilihan raya juga mendapati 75.5 peratus pengundi merujuk kepada WhatsApp, Facebook (68.3 peratus), Instagram (65 peratus), YouTube (63.5 peratus) dan Twitter (59 peratus).

Justeru, parti politik dan calon yang bertanding di PRN Sabah sewajarnya memastikan kempen secara interpersonal seperti ceramah, lawatan rumah ke rumah perlu diikuti dengan liputan secara langsung melalui perantara media sosial.

Maklumat calon, manifesto dan kempen perlu dibuat dalam Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube. Apa yang lebih penting adalah mesej dalam kempen mestilah sesuai dan memenuhi kehendak dan keperluan pengundi.

Namun, pengundi mempunyai cara tersendiri dalam menilai mana parti politik dan calon yang akan dipilih. Pilihan pengundi merupakan harga yang mahal yang ditapis dan dipertimbangkan sewajarnya sebelum diangkat sebagai wakil rakyat atau ADUN.

Pendekatan pemasaran politik (4P) melalui media sosial masih mampu menembusi khalayak atau pengundi.

Pemasaran politik melibatkan produk iaitu apa yang ditawarkan oleh parti politik dan calon. Promosi iaitu bagaimana penggunaan media digunakan untuk menyampaikan maklumat. Harga melibatkan kos dalam menjayakan kempen dan tempat iaitu di mana kempen ingin dilaksanakan.

Namun, kajian membuktikan bahawa kejayaan calon dan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya adalah gabungan penggemblengan strategi kempen menggunakan pendekatan pemasaran politik secara bersistematik.

Kempen melalui maya dilihat berpotensi untuk mempengaruhi pengundi asalkan mengandungi maklumat dan mesej yang jelas mengenai calon dan parti yang bertanding.

Isu-isu yang berlegar dalam kempen di Sabah seperti isu tempatan dan nasional mampu juga mempengaruhi pemilihan pengundi.

Ceramah atau kempen hanya merupakan pendekatan dan tool bagi penyampaian maklumat, namun yang penting perisian dan maklumat yang ditawarkan mampu mempengaruhi pemilihan dan membuat keputusan.

Kunjungan calon mendekati pengundi secara bersemuka mungkin meyakinkan seseorang pengundi untuk memilih.

Namun dengan kempen terhad, sejauh mana calon mampu bertemu bakal pengundi mereka?

Begitu juga manifesto atau janji oleh parti politik atau calon boleh memikat hati pengundi kerana pengundi di Sabah mahukan pembangunan dan pembaharuan.

PRN Sabah kali ini dianggap getir kerana pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat kerana kemelut politik yang menyebabkan mandat diberikan kepada pengundi untuk menentukan masa hadapan.

Namun, pengundi Sabah cukup matang dalam memastikan pembentukan kerajaan negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Pendekatan pemasaran politik (4P) melalui media sosial masih mampu menembusi khalayak atau pengundi.”


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!